
Apabila menjelangnya Aidilfitri, aktiviti membeli-belah di bulan Ramadan adalah satu perkara wajib yang dilakukan oleh setiap umat Islam yang menyambutnya. Pakaian baru, perhiasan rumah, kuih dan sebagainya adalah antara barang-barang yang dicari. Boleh dikatakan hampir kesemua tempat akan mengadakan pelbagai jualan atau promosi sempena Aidilfitri. Namun apakah empat lokasi yang seringkali menjadi tumpuan ramai terutama sekali di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor? Mari kita saksikan.
JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN

Siapa yang tidak mengenali Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali Jalan TAR? Berdekatan dengan Jalan Chow Kit dan Jalan Tun Perak, Jalan TAR adalah satu lokasi di mana hampir kesemua benda yang anda inginkan boleh didapati di sini atau kedai-kedai yang berdekatan dengan harga berpatutan. Selain mendapatkan juadah berbuka puasa, anda boleh membelek pakaian baju kurung atau baju melayu, tudung, kuih-muih serta perhiasan rumah sekaligus di bazaar yang terletak di sepanjang jalan berdekatan dengan Semua House. Bagi yang gemar membeli-belah di tempat berhawa dingin, anda boleh mengunjungi Maju Junction atau yang paling dekat dengan Jalan TAR iaitu Sogo Shopping Complex, Kamdar dan sebagainya. Bagi yang ingin mendapatkan perhiasan rumah dengan lebih selesa, anda boleh mengunjungi kedai SSF yang terletak di Wisma Gurcharan. Bagi warga Kuala Lumpur yang ingin mendapatkan barang dengan harga lebih rendah, anda boleh mengunjungi Jalan TAR pada malam raya di mana peniaga akan mengadakan jualan besar-besaran. Kemudahan pengangkutan awam seperti tren aliran ringan (LRT) di stesen Masjid Jamek atau Bandaraya serta bas yang berdekatan dengan lokasi ini memudahkan mereka yang ingin membeli-belah tanpa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutama sekali pada hujung minggu.
PUSAT MEMBELI-BELAH

Jika ingin kami menyenaraikan bilangan pusat membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, tidak terkira rasanya. Namun antara yang paling utama dan terkenal adalah seperti Mid Valley Megamall, Suria KLCC, 1 Utama, Bangsar Shopping Centre, Pavilion Kuala Lumpur, Empire Shopping Gallery, Sunway Pyramid, The Mines Shopping Centre, The Curve, SACC Mall dan terbaru, Paradigm Mall. Bagi yang ingin mendapatkan pakaian dengan harga berpatutan seharusnya mengunjungi Sungai Wang Plaza atau Berjaya Times Square. Ini kerana jika bernasib baik, anda mungkin dapat membeli empat atau lima helai baju dengan hanya RM100. Selain daripada itu anda juga boleh mengunjungi AEON, Carrefour, Tesco dan Giant Hypermarket. Yang pasti, anda akan melihat promosi di merata tempat.
BAZAAR ATAU PASAR MALAM

Downtown Cheras, Uptown Kota Damansara atau Uptown Danau Kota adalah antara bazaar malam yang turut menjual keperluan raya yang anda inginkan. Walaupun ianya lebih kurang dengan bazaar di Jalan TAR, bazaar malam di tiga lokasi ini dilihat menjual barangan dengan harga lebih berpatutan. Tudung, pakaian, aksesori, perhiasan rumah – namakan sahaja kerana ia mudah ditemui di situ. Selain daripada itu bagi mereka yang penat berjalan seharian, anda boleh mendapatkan khidmat mengurut kaki untuk meredakan rasa lenguh atau sakit. Bazaar-bazaar ini sering menjadi tumpuan orang ramai dan meriah selepas jam 9 malam sehingga lewat malam.
KOMPLEKS PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI SELANGOR (PKNS)

Seperti Jalan TAR, Kompleks PKNS yang terletak di Shah Alam adalah satu lokasi wajib bagi mereka yang ingin mendapatkan keperluan Aidilfitri. Pelbagai baju kurung, baju kebaya, baju melayu, tudung dan macam-macam lagi dijual di gerai-gerai yang terletak di tingkat satu dan dua atau butik-butik dengan harga serendah RM50 sehingga RM300. Apa sahaja yang anda mahukan pasti boleh didapati di sini. Kompleks PKNS adalah satu lokasi yang paling dekat terutama sekali buat mereka yang tinggal di kawasan Petaling Jaya, Subang atau Shah Alam. Selain itu, anda boleh singgah di SACC Mall atau Plaza Alam Sentral yang terletak berdekatan dengan Kompleks PKNS.





