Pemimpin dunia beri penghormatan kepada Lee Kuan Yew

Ketika rakyat Singapura bersedih dengan pemergian perdana menteri pertama mereka, Lee Kuan Yew, para pemimpin dunia memberi penghormatan kepada bekas pemimpin itu dan menyifatkan beliau sebagai seorang daripada pemimpin era moden paling ulung dan penuh berwasasan, yang pernah dilahirkan Asia.

Kuan Yew, 91, meninggal dunia pada 3.18 pagi hari ini di Hospital Besar Singapura setelah dimasukkan ke hospital itu pada 5 Februari kerana mengalami radang paru-paru teruk.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyifatkan Kuan Yew sebagai pemimpin berwawasan jauh yang mengemudi Singapura sejak mencapai kemerdekaan pada 1965
dan membangunkannya hingga menjadi antara negara paling makmur di dunia hari
ini.

Beliau berkata Kuan Yew adalah penjawat awam yang amat tekun dalam menunaikan tugas serta tanggungjawabnya dan seorang pemimpin luar biasa.

"Saya amat sedih apabila mendapat tahu tentang kematian Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew. Bagi pihak rakyat Amerika dan Michelle, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kami yang amat mendalam kepada keluarga Lee dan turut berkongsi kesedihan dengan rakyat Singapura atas pemergian tokoh luar biasa ini," katanya dalam satu kenyataan.

Obama berkata pandangan dan wawasan Kuan Yew tentang dinamik serta pengurusan ekonomi Asia dihormati banyak pihak di seluruh dunia dan agak banyak pemimpin dunia generasi kini dan generasi lampau mendapatkan nasihat beliau mengenai perkara berkaitan tadbir urus serta pembangunan.

"Saya secara peribadi begitu menghormati kebijaksanaan beliau, termasuk semasa perbincangan kami ketika lawatan saya ke Singapura pada 2009, yang begitu penting dalam membantu saya bagi menggubal dasar kami untuk mengimbangkan semula keadaan di Asia Pasifik.

"Sesungguhnya, beliau adalah seorang tokoh ulung dalam sejarah, yang akan dikenang hingga beberapa generasi akan datang sebagai bapa Singapura moden serta seorang daripada pakar strategi ulung mengenai hal ehwal Asia," kata beliau.

Dalam surat beliau kepada Hsien Loong, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata beliau sedih dengan pemergian Kuan Yew, dan mengutuskan ucapan simpati serta takziah yang amat mendalam kepada perdana menteri Singapura itu, keluarganya serta kerajaan dan rakyat Singapura.

Abe menyifatkan Kuan Yew sebagai antara pemimpin zaman moden paling hebat yang pernah dilahirkan Asia.

Katanya, Kuan Yew, dengan kepimpinannya yang tiada tolok banding serta wawasannya yang luar biasa, memainkan peranan utama selama lebih separuh abad dan sepanjang hayatnya, bukan sahaja untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang begitu hebat bagi Singapura, tetapi juga dalam menjamin keamanan serta kestabilan rantau Asia Pasifik dan dunia.

Kuan Yew dipandang tinggi semua pihak di dunia, katanya.

Abe berkata dalam konteks hubungan dua hala, Kuan Yew, ketika dan selepas menyandang jawatan perdana menteri, sering melawat Jepun dan memberi sumbangan besar dalam memupuk hubungan erat antara Singapura dan Jepun.

"Saya masih ingat dengan jelas betapa saya begitu kagum dengan kebijaksanaan beliau, termasuk ketika saya bertemu dengannya pada 2014.

"Pemergian pemimpin hebat ini bukan sahaja suatu kehilangan besar bagi negara tuan, tetapi juga kepada seluruh masyarakat antarabangsa.

"Dalam menghadapi saat-saat memilukan ini, saya berharap rakyat negara tuan akan dapat menahan kesedihan yag dialami, dan semoga dengan kepimpinan bijaksana tuan, negara tuan akan memanfaatkan legasi yang beliau tinggalkan bagi mencapai kejayaan lebih besar.

"Semoga legasi yang beliau tinggalkan hidup untuk selama-lamanya dan semoga beliau bersemadi dengan tenang," katanya. – Bernama, 23 Mac, 2015.