Advertisement

Surat terbuka kepada rakyat Malaysia – Noor Farida Ariffin dan 24 yang lain

Bagi menyokong debat dan dialog terbuka berkenaan Perundangan Islam, kami rakyat Malaysia yang prihatin, berasa bimbang dan amat kecewa dengan perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan amalan undang-undang Islam di negara ini.

Perbalahan yang berlangsung sekarang ini tidak memberikan gambaran dan pemahaman yang jelas mengenai kedudukan undang-undang Islam di dalam kerangka demokrasi berparlimen. Ia juga mencerminkan keruntuhan pembahagian kuasa di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam bidang perundangan sivil mahupun perundangan jenayah.

Kami merujuk secara khusus kepada situasi semasa di mana institusi-institusi agama kelihatan bertindak di luar bidang kuasa mereka, misalnya dengan mengeluarkan pelbagai fatwa yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, serta tidak menepati proses demokratik dan proses konsultatif "shura".

Di samping itu, semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhaluan kanan dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak-pihak yang berani bersuara sebagai anti-Islam, anti-institusi beraja dan anti-Melayu. Tindakan mereka itu menyukarkan usaha untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian konflik secara rasional.

Apa yang membimbangkan kami juga ialah penggunaan Akta Hasutan sebagai alat untuk menggertak dan mendiamkan sesiapa yang mempunyai pandangan yang berbeza.

Perkembangan ini menjejaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip-prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, melahirkan sikap tidak bertolak-ansur dan ketaksuban, serta menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Kami sebagai Muslim yang moderat berasa amat bimbang dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dengan hak golongan transgender berpakaian mengikut identiti mereka.

Beliau dalam kenyataannya menyifatkan tindakan komuniti transgender yang memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keesahan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 sebagai satu “gelombang tentangan bentuk baru terhadap Islam” dan merupakan satu cubaan untuk “memesongkan akidah umat Islam” di Malaysia.

Beliau juga menyatakan permohonan Sisters in Islam baru-baru ini berkenaan fatwa mengenai fahaman liberalism dan pluralisme merupakan suatu “tindakan mengheret institusi Islam untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil.” Kenyataan seumpama ini yang mengapi-apikan keadaan daripada seorang menteri (dan ini bukan kali pertama) menunjukkan kepada orang ramai komitmen perdana menteri memperjuangkan gagasan kesederhanaan (moderation) tidak perlu diambil berat memandangkan menteri kabinet sendiri sering memperlekehkannya.

Isu-isu yang kami bangkitkan ini sememangnya sukar untuk ditangani memandangkan apa-apa berkaitan bangsa dan agama sering dipolitikkan di negara ini. Kami yakin PM memiliki sumber dan kuasa bagi mengetuai proses perundingan untuk membawa pakar dalam pelbagai bidang, termasuk undang-undang Islam dan undang-undang perlembagaan, serta semua pihak yang terlibat.

Kami merasakan adalah amat penting bagi semua pihak berusaha mencari penyelesaian kepada konflik yang berpanjangan ini yang menjejaskan hubungan antara kaum, melunturkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan perlindungan di bawah undang-undang, selain menjejaskan kestabilan negara.

Terdapat pelbagai isu penting yang memerlukan perhatian dan kepimpinan PM serta sokongan semua ahli Kabinet dan rakyat Malaysia. Antaranya:

i) Sistem perundangan plural yang sekian lama menimbulkan pelbagai konflik dan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah. Pada hemat kami, terdapat keperluan segera untuk menilai kembali Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia. Undang-undang berkenaan yang mengkanunkan pelbagai “dosa peribadi” sebagai jenayah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari aspek substantif serta pelaksanaan. Undang-undang ini bercanggah dengan prinsip perundangan Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh kehidupan peribadi rakyat. Pada tahun 1999, Kabinet mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk menilai semula Undang-undang Jenayah Syariah. Walaubagaimanapun, sehingga kini undang-undang tersebut masih dikuatkuasakan dan menyebabkan banyak berlakunya ketidakadilan, membawa kepada kemarahan orang ramai, perbalahan tentang bidang kuasa dan hak menuntut semakan kehakiman, dakwaan penyalahgunaan kuasa, diskriminasi gender serta kematian dan kecederaan yang berpunca daripada serbuan terhadap kesalahan akhlak (moral policing). Ini menghakis kredibiliti, proses penggubalan undang-undang, serta keyakinan orang ramai terhadap keadilan di bawah undang-undang Islam.

ii) Kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai, termasuk pemimpin tertinggi, terhadap aspek perundangan dan had bidang kuasa institusi agama dan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang yang digubal, termasuk undang-undang Islam, tidak boleh bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara berkaitan kebebasan asasi manusia, pembahagian bidang kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta prosedur legislatif. Semua Akta, Enakmen dan undang-undang kecil, termasuk fatwa, adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan terbuka untuk disemak badan kehakiman.

iii) Perlunya memastikan hak rakyat membahaskan bagaimana agama Islam digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam di negara ini. Perundangan Islam di Malaysia digubal badan eksekutif dan dilulus badan perundangan. Sumber undang-undang Islam termasuklah yang suci seperti Al-Quran dan Sunnah, serta usaha manusia seperti fiqah dan adat. Proses penggubalan undang-undang ini melibatkan kebijaksanaan dan keputusan manusia biasa. Maka ia terbuka untuk dibahaskan supaya matlamat keadilan dapat ditegakkan.

iv) Perlunya mempertingkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian yang wujud dalam pentafsiran teks dan ilmu fiqah. Ini termasuk kaedah-kaedah perundangan yang memungkinkan reformasi berlaku dan prinsip kesaksamaan dan keadilan ditegakkan, seiring dengan perubahan kini, khususnya dalam aspek tuntutan, peranan dan kedudukan wanita dalam keluarga dan masyarakat.

v) Perlunya PM menekankan kepimpinannya di samping melantik pemimpin-pemimpin yang berupaya menghidupkan budaya debat dan wacana yang terbuka dan koheren berhubung dengan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini, ke arah memastikan keadilan. Kami secara khusus menggesa agar pentadbiran PM menjelaskan perbahasan secara rasional dan ilmiah tentang undang-undang Islam di Malaysia bukanlah satu penghinaan terhadap Islam dan pihak berkuasa agama di negara ini.

Isu-isu ini mungkin dianggap rumit tetapi apa yang ingin ditekankan ialah, kami sebagai Muslim berpegang undang-undang Islam, lebih daripada undang-undang sivil, perlu mencapai standard tertinggi dalam hal keadilan kerana ia berdasarkan hukum Allah. Lantaran itu, mana-mana pihak yang bertindak atas nama Islam menerusi pentadbiran undang-undang Islam perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan bahkan dilihat ia ditegakkan.

Semasa Islam diwahyukan kepada Rasulullah SAW pada abad ke-7 di Tanah Arab, ia merupakan sesuatu yang amat revolusional dan progresif. Zaman-berzaman, agama ini menjadi panduan kepada umat Islam meredah cabaran dan rintangan yang pelbagai. Sesungguhnya kami yakin dan percaya bagi memastikan Islam terus kekal relevan dan universal pada zaman sekarang, maka pemahaman, pengkanunan dan pelaksanaan ajaran Islam perlulah berkembang seiring dengan peredaran masa. Hanya dengan cara inilah keadilan, seperti yang dituntut Allah SWT, dapat disempurnakan.

1. Tan Sri Datuk Abdul Rahim Bin Haji Din, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri

2. Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri

3. Tan Sri Dr Aris Othman, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan

4. Tan Sri Dr Ismail Merican, bekas Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan

5. Tan Sri Dato' Mohd Sheriff bin Mohd Kassim, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan

6. Tan Sri Dato' Dr Mustaffa Babjee, bekas Ketua Pengarah, Perkhidmatan VeterinarThis statement is embargoed until 11pm December 7th for online media

7. Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia

8. Tan Sri Dr Yahya Awang, Pembedah Kardiotorasik dan Pengasas, Institut Jantung Negara

9. Dato' Seri Shaik Daud Md Ismail, bekas Hakim Mahkamah Rayuan

10. Dato’ Abdul Kadir bin Mohd Deen, bekas Duta

11. Datuk Anwar Fazal, bekas Penasihat Kanan Serantau, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)

12. Dato' Dali Mahmud Hashim, bekas Duta

13. Dato' Emam Mohd Haniff Mohd Hussein, bekas Duta

14. Dato' Faridah Khalid, Wakil Suara Wanita

15. Dato' Latifah Merican Cheong, bekas Penolong Gabenor, Bank Negara

16. Lt. Jen (B) Dato' Maulob Maamin, Leftenan Jeneral (B)

17. Dato' Noor Farida Ariffin, bekas Duta

18. Dato' Ranita Hussein, bekas Pesuruhjaya SUHAKAM

19. Dato' Redzuan Kushairi, bekas Duta

20. Dato' Dr. Sharom Ahmat, bekas Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains MalaysiaThis statement is embargoed until 11pm December 7th for online media

21. Dato' Syed Arif Fadhillah, bekas Duta

22. Dato' Zainal Abidin Ahmad, bekas Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia

23. Dato' Zainuddin Bahari, bekas Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi danKepenggunaan

24. Datin Halimah Mohd Said, bekas Pensyarah, Universiti Malaya dan Presiden, Association of Voices of Peace, Conscience and Reason (PCORE)

25. Puan Hendon Mohamad, bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, – 8 Disember, 2014.

* Penulis ialah bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda dan bekas Ketua Pengarah Penyelidikan, Perjanjian dan Jabatan Undang-undang Antarabangsa, Kementerian Luar.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.