Advertisement

Tian Chua pertikai kredibiliti polis, hilang peralatan dalam balai

Pemantauan terhadap pengurusan TRM Pahang kurang memuaskan

Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012 bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerugian RM1.33 juta akibat kehilangan aset ditempelak oleh ahli Parlimen pembangkang hari ini mengenai kredibiliti badan penguatkuasa itu.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata bagaimana PDRM mahu memastikan keselamatan rakyat sedangkan harta mereka di dalam balai polis tidak terjaga.

"Kalau barang keperluan sendiri yang ada dalam balai pun tidak boleh jaga, bagaimana rakyat hendak harapkan polis jaga keselamatan mereka.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana kehilangan senjata api adalah perkara serius," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Antara aset PDRM yang didapati hilang seperti dilaporkan laporan audit itu ialah gari, pistol dan kenderaan.

Sehubungan itu, Tian Chua menggesa tindakan tegas diambil berikutan kehilangan aset yang berlaku dalam PDRM itu.

Laporan audit berkenaan berkata, berdasarkan statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang ialah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.

"Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan.

"Pengurusan aset yang tidak teratur dan bersistematik boleh menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutama senjata api dan gari yang boleh mengancam keselamatan awam," kata laporan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Antara kelemahan yang ditemui audit berkenaan adalah kehilangan aset lewat dikesan; kelewatan melaporkan kehilangan kepada Ketua Jabatan dan Polis; Ketua Jabatan lewat menyediakan Laporan Awal Kehilangan Aset; Jawatankuasa Penyiasat Kes kehilangan aset lewat ditubuhkan; Jawatankuasa Kehilangan Aset lewat menyediakan Laporan Akhir.

Kelemahan lain pasukan keselamatan berkenaan dalam soal pengurusan aset yang dikenal pasti oleh audit berkenaan termasuk; Urus Setia Kehilangan dan Hapus Kira lewat mengambil tindakan susulan; kelewatan mengambil tindakan diperingkat kontinjen setelah kelulusan hapus kira oleh Kuasa Melulus; Kelewatan mengambil tindakan surcaj; tempat penyimpanan tidak selamat; dan ruang penyimpanan aset yang sempit dan terhad.

Sehubungan itu, pihak audit mengesyorkan pasukan PDRM memastikan pemeriksaan berkala dilaksanakan mengikut ketetapan supaya dapat mengesan kes kehilangan aset berkenaan.

"Memastikan pematuhan kepada penetapan norma masa proses kerja hapus kira aset supaya punca kehilangan dapat dikenal pasti segera.

"Memastikan kehilangan aset yang berpunca daripada kecurian, penipuan, atau kecuaian pegawai/anggota dikenakan tindakan surcaj atau tatatertib supaya menjadi satu usaha pencegahan bagi mengawal kes kehilangan," cadang audit berkenaan. – 2 Oktober, 2013.