Video Tahun Baru Cina Teresa Kok: Pelakon disoal siasat hampir dua jam

Dewan Rakyat kecoh isu video ‘Onederful Malaysia’ Teresa Kok

Pelakon Lim Chin Miau disoal siasat hampir dua jam oleh polis hari ini berhubung lakonan beliau dalam video klip kontroversi Sambutan Tahun Baru Cina Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

"Mereka mahu mengesahkan beberapa perkara dalam video klip tersebut ini termasuk lakonan parodi seorang isteri pemimpin bagaimanapun tidak disebut nama tersebut," kata peguam Lim, Aaron Lee kepada pemberita di Kuala Lumpur.‎

Dalam klip video satira politik Tahun Baru Cina bertajuk "Onederful Malaysia CNY 2014", Kok berlakon sebagai pengacara feng shui program bual bicara dengan membabitkan adegan lawak apabila ditanya oleh tiga panel mengenai pelbagai isu termasuk sistem pendidikan, kenaikan kos sara hidup dan keselamatan di Sabah.

Lim dan dua lagi pelakon berada di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur bagi membantu siasatan keatas Kok susulan daripada laporan polis yang dibuat.

Bagaimanapun setakat ini polis masih belum menghubungi Kok untuk disoal siasat.

Video tersebut dikritik oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin Barisan Nasional dengan hampir 300 laporan polis dibuat terhadap Kok kerana menghina Melayu, Raja dan Islam.

Beberapa individu termasuk Lim, dipanggil untuk merekodkan kenyataan berhubung laporan polis yang dibuat Kok.

Pelakon berusia 32 tahun itu ditemani oleh peguam dan rakannya menyatakan perasaan lega setelah memberi kenyataan sebagai saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah hari ini.

"Saya boleh tidur dengan lena sekarang," katanya.

Peguam Lim berkata soalan yang ditanya oleh polis adalah kandungan membabitkan video klip tersebut.

"Polis menunjukkan klip itu kepada Lim, tetapi tidak meminta terjemahan, mereka hanya mahu Lim untuk melihat klip itu semula bersama mereka," katanya.

Beliau berkata, Lim ditanya hampir 30 soalan di mana ia merupakan soal siasat yang sama terhadap dua lagi individu pada pagi tadi.

"Dua lagi yang berlakon bersama Lim memberi kenyataan pada pagi ini," kata Lee.

Minggu lalu sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka Majlis Jemaah NGO Islam mengadakan protes di hadapan Menara Maybank di Kuala Lumpur sebagai bantahan ke atas video Kok.

Antara lain penunjuk perasaan itu turut menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai reaksi kemarahan terhadap pemimpin DAP itu yang dikatakan menghina Melayu dan Islam.

Mereka juga turut mencalitkan darah ayam tersebut keatas sepanduk tertera gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk Lee Khai Loon.

Biarpun Kok membuat laporan polis berhubung tindakan kumpulan tersebut, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan tawaran tampar bukanlah satu ancaman.

Ekoran kenyataannya itu, beliau dikritik hebat oleh pemimpin pembangkang termasuk Majlis Peguam Malaysia. – 11 Februari, 2014.