Advertisement

Wanita dan beg tangan – Lieya Shafie

Ya! Wanita dan beg tangan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Jika tiada beg atau atas tangan, tidak lengkap rasanya fesyen atau penampilan seseorang wanita kan? Terdapat wanita yang begitu obses dengan beg tangan sehinggakan mereka sanggup berbelanja besar untuk memenuhi minat masing-masing.

Beg tangan antara aksesori wajib pelengkap gaya wanita. Malah, kehadiran beg tangan yang sesuai turut menambahkan kecantikan dan keanggunan si pemakai. Lebih mengagumkan, trend pemakaian beg tangan berjenama turut mempengaruhi wanita untuk berhabis wang ringgit bagi memiliki beg tangan idaman hati. Maka tidak hairanlah sebilangan besar wanita memiliki lebih daripada satu koleksi beg tangan yang berlainan, yang pastinya memiliki reka bentuk, saiz, jenama dan material berbeza.

Bagi peminat beg tangan, terdapat pelbagai kategori fabrik dan juga jenama yang dipadankan untuk menghadiri majlis formal, aktiviti santai, mahupun untuk ke pejabat. Ada yang terlalu obses dengan jenama dan warna beg tangan tersebut, ada juga yang tidak obses dengan jenama namun asal sesuai dengan penampilan tersendiri.

"Cluth", "satchels", "hobo", dan "totes" merupakan beberapa kategori beg tangan yang sering digayakan wanita dan setiap satunya mempunyai maksud yang melambangkan keperibadian si pemakainya yang tersendiri. Kesemuanya mempunyai pelbagai bentuk dan fungsi serta peminatnya yang tersendiri.

Saya pernah terbaca dalam beberapa artikel atau majalah yang menyatakan tentang keperibadian wanita dalam pemilihan dan penggayaan beg tangan yang mana ia terselit rahsia disebalik peribadi seseorang itu sendiri. Sebagai contohnya, seperti penggayaan beg tangan yang terdiri dari jenis "clutch" yang menggambarkan wanita tersebut memiliki keyakinan dan kepercayaan diri yang kuat dalam menjalani kehidupan sehariannya. Di samping itu, ia juga menggambarkan wanita ini dapat menjadi seorang kawan yang baik kepada sesiapa sahaja dan merupakan seorang kawan yang setia menemani tidak kira di saat susah mahupun senang.

Beg jenis "clutch" ini merupakan sejenis beg tangan kecil yang lebih menyerupai seperti dompet. Kebiasaannya ianya tidak bertali atau tidak mempunyai sebarang pemegang dan dipegang dalam tangan ataupun dikepit di bawah lengan. Selain itu, beg jenis ini tidak boleh mengisi barang yang terlalu banyak atau barang yang terlalu besar. Maka, kebiasaannya wanita menggayakan beg jenis "clutch" ini untuk menghadiri majlis-majlis tertentu sahaja.

Selain "clutch", antara jenis beg tangan lain yang sering wanita gayakan adalah beg dari jenis "satchel". "Satchel" merupakan beg tangan jenis kecil, yang biasanya mempunyai tali galas yang panjang. Wanita yang menggayakan beg tangan jenis "satchel" ini merupakan wanita yang berperwatakan lemah-lembut dan sopan santun. Namun begitu, sebegini merupakan seorang yang amat tegas dan tekun dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya.

Di samping itu, wanita yang menggayakan beg tangan jenis "satchel" ini juga merupakan seorang yang peramah dan begitu disenangi. Wanita dari kategori beg ini juga mempunyai impian yang besar dan akan sentiasa berusaha untuk berjaya mencapai impiannya, serta seorang yang suka menggembara bagi menimba pengalaman-pengalaman baru.

Beg tangan yang bersaiz besar atau lebih dikenali sebagai jenis "hobo", turut digayakan wanita. Lazimnya, beg tangan jenis ini mempunyai dua jenis tali, yang mana ia boleh digayakan dengan dua cara. Sama ada digalas dengan menggunakan tali panjang, ataupun digalas dengan menggunakan tali pendek. Beg tangan jenis ini boleh mengisi barang yang banyak dan sangat sesuai bagi mereka yang sering melakukan aktiviti luar.

Selalunya wanita yang menggayakan beg tangan jenis "hobo" ini, merupakan seorang yang aktif, suka meneroka perkara-perkara baru serta mempunyai banyak minat dalam apa jua perkara. Sebenarnya perkataan "hobo" itu sendiri dalam bahasa Inggeris turut membawa maksud suka merantau ataupun suka akan cabaran.

Lazimnya, wanita dari kategori beg "hobo" ini juga merupakan seorang yang agak bijak serta sering memiliki idea-idea yang bernas dalam sesuatu perkara. Namun begitu wanita dari kategori ini turut mempunyai kelemahan, iaitu mereka sering kurang fokus dalam apa jua perkara yang dilakukannya serta seorang yang cepat berputus asa, apabila sesuatu yang diusahakannya menemui kegagalan.

Pemilihan beg tangan

Ada di kalangan wanita mahu penampilannya sentiasa sedondon dengan pemilihan warna kasut, baju dan beg tangan dan ada juga yang tidak kisah dengan perkara seperti itu.

Dari segi pemilihan warna beg tangan pula, wanita masa kini lebih gemar melengkapkan penampilan mereka dengan warna-warna yang mengikut trend dan jenis penampilan yang tersendiri. Setiap satu warna boleh menambahkan "mood" untuk melakukan apa jua aktiviti dan warna juga melambangkan personaliti! Ini menunjukkan wanita merupakan seorang yang berketerampilan dalam apa jua situasi serta bijak dalam menggayakan fesyen dalam kehidupan seharian.

Berikut adalah kategori warna beg tangan yang sering menjadi pilihan wanita dalam melengkapkan gaya personaliti yang tersendiri.

Warna merah jambu untuk "Lady Pinky"!
Merah jambu adalah lambang feminin. Wanita yang menggemari warna ini adalah golongan yang sensitif, lembut dan sangat gemarkan gaya yang menonjolkan sifat keperempuanan. Lady Pinky sangat menggemari fesyen dan suka tampil cantik. Paling menarik, biarpun mereka kelihatan lembut, namun mereka sebenarnya tidak gentar dengan apa jua cabaran!

Warna hijau untuk "Lady Earth"!
Warna hijau tidak hanya melambangkan kesegaran dan ketenangan. Malah, hijau juga berupaya menenangkan perasaan dan jiwa seseorang. Wanita yang menggemari rona ini sukakan keamanan, tidak mudah panik dan sentiasa tenang walau dalam kesusahan. Uniknya mereka apabila gaya low profile menjadi pilihan utama untuk menerajui kehidupan. Mereka juga mudah didekati walau sedikit pendiam dan pemalu!

Warna merah untuk "Lady Diva"!
Merah tanda cinta. Merah juga simbol keberanian dan seksi. Wanita yang tidak lekang daripada warna ini memiliki personaliti menarik tetapi sukar dijangka. Sifat ingin mencuba dan berani memang mudah dilihat dalam diri mereka. Pantang dicabar, pasti mereka sahut dengan daya keyakinan yang tinggi. Mereka juga memiliki sifat anggun dan seksi yang semulajadi. Berilah apa jua helaian fesyen, mereka pasti bijak menggayakannya dengan penuh persona yang sensual!.

Warna kuning untuk "Lady Sunshine"!
Wanita yang menggemari warna ini adalah cukup sinonom dengan senyuman dan gelak tawa. Memiliki karakter yang ceria, easy going dan happy go lucky, sukar untuk melihat mereka berwajah muram. Tidak hairanlah mengapa mereka sungguh bijak, setiap perkara dalam kehidupan dilaluinya dengan berfikiran positif! Selain ceria, golongan ini juga suka membuatkan orang lain ketawa.

Jelas di sini menunjukkan beg tangan bukan sahaja digunakan untuk mengisi barang, tetapi turut dijadikan aksesori untuk digayakan setiap masa serta merupakan satu kepuasan bagi seorang yang bergelar wanita! – 16 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.