A.J. Pyro: Guru Silat MMA

Nicholas C.
Yahoo Newsroom

Sekali imbas, sesiapa sahaja dapat mengagak yang A.J. Vaas Mansoor bukanlah calang-calang orang. Otot lengannya yang membonjol dan bahagian abdomennya yang pejal adalah ciri-ciri yang terdapat pada seseorang ahli seni mempertahankan diri/tempur campuran (seperti mana beliau sendiri) manakala ketegasannya bagaikan memberi amaran supaya jangan ada sesiapa yang mempermainkannya.

Namun, anak kelahiran Sabah yang berusia 37 tahun ini memiliki keistimewaan lain – beliau ialah peserta yang pertama bahkan satu-satunya dalam Seni Pertahankan Diri/Tempur Campuran (MMA) yang mempunyai latar belakang silat. Sementara peserta lain menggunakan tumbukan padu sepantas kilat dan tendangan maut, Pyro pula memilih untuk bersilat. Ya, dia lebih gemar ‘menari’ bersama lawannya sebelum menyerang mereka.

Baru-baru ini Yahoo! Malaysia menemui AJ Pyro yang bercakap tentang gaya tempurnya yang bukan ortodoks. Dia turut berbicara tentang bagaimana mula menceburi bidang seni mempertahankan diri dan rancangannya untuk menewaskan pakar Muay Thai dalam kejohanan MMA tidak lama lagi.


Bagaimanakah anda mendapat nama gelanggang ‘Pyro’? Apakah nama itu idea anda sendiri atau gelaran yang diberikan oleh seseorang?

Nama itu idea saya sendiri.  Saya mengamalkan seni mempertahankan diri sejak kecil lagi namun agak lama juga sebelum saya memahami peribadi saya sendiri.

Apakah maksud nama itu?
Pyro umpama api di dalam diri saya.  Itulah saya.  Tidak kira hujan atau panas, api saya tetap menyala.  Dari situlah muncul nama itu dan saya sukakannya.

Anda mula menceburi seni mempertahankan diri sejak kecil lagi. Bagaimanakah anda boleh terlibat dalam bidang itu?
Saya adalah budak kampung, berasal dari sebuah kampung kecil.  Di tempat-tempat seperti itu, silat amat popular.  Jadi, saya bermula dengan silat. Ia untuk mempertahankan diri dan saya berfikir, mengapa tidak?

Daripada siapakah anda belajar bersilat?

Di kampung saya dulu terdapat seorang guru silat yang mengadakan kelas di mana semua budak-budak lelaki berlatih.  Saya mahu menyertainya kerana abang saya amat meminati silat. Jadi saya pergi ke sana, berlatih dan di situlah segala-galanya bermula.

Adakah anda dan abang sering berlawan?
(Ketawa) Tidak.  Dia sepuluh tahun lebih tua daripada saya dan biasanya saya tidak melawan apabila dipukul.  Saya hanya berlawan dengan budak-budak lain.  Tetapi, abang sayalah yang memberikan semangat kepada saya.  Dia membawa saya ke beberapa kejohanan di mana saya melihat dia bertanding. Saya fikir, “Jika abang boleh lakukannya, saya pun boleh”.



Tidak dinafikan, silat adalah gaya tempur yang jarang-jarang sekali digunakan dalam MMA. Pada pandangan anda, apakah kelebihan silat ketika bertempur dengan lawan anda?

Pada saya, silat tiada bezanya dengan Taekwondo, karate, tinju atau Muay Thai. Masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan sendiri. Namun silat mempunyai satu kelebihan  istimewa iaitu ‘semangat pahlawan’. Apabila saya berlatih atau membuat persiapan untuk suatu perlawanan, semangat itulah yang memberikan saya kekuatan bukan sahaja di gelanggang malah dalam kehidupan sehari-hari. Ia mengajar saya untuk terus berusaha tanpa mengenal rasa putus asa.

Apakah yang berlegar-legar dalam fikiran anda ketika melangkah ke dalam sangkar atau gelanggang tempur?
Apabila melangkah ke dalam gelanggang, segala-galanya umpama perang.  Kita harus berfikir tentang rancangan, strategi dan apa yang harus dilakukan.  Oleh kerana ia bagaikan suatu peperangan, kita harus berikan komitmen 100%. Kita tidak boleh berundur sebaliknya mesti memenangi perlawanan atau peperangan itu.

Anda bakal menentang pakar Muay Thai iaitu Jian Kai Chee, dalam kejohanan MMA di Malaysia tidak lama lagi.  Bagaimanakah perkembangan latihan anda?
Sesi latihan berjalan dengan amat baik. Saya sudah lapan minggu menjalani latihan dan empat minggu yang pertama saya berlatih di Thailand. Kai Chee adalah penyerang Muay Thai, jadi saya pergi ke Thailand untuk berlatih bersama jurulatih saya.  Begitulah komitmen saya.  Dalam empat minggu terakhir pula saya menjalani latihan berat. Sepanjang lapan minggu itu saya belajar malah berkorban banyak perkara.

Sejauh manakah anda yakin dapat menewaskan Kai Chee?
Saya amat yakin.  Saya begitu yakin dalam segala aspek – tenaga saya, kekuatan dan stamina saya, juga cara permainan saya. Saya sudah bersedia untuk berlawan dan saya akan memenanginya.

Apakah pula kekuatan Kai Chee?
Teknik serangannya amat bagus. Dia amat, amat berbahaya. Dia berupaya menumbangkan lawannya. Tapi saya pun boleh menumbangkannya (ketawa).

Bagaimanakah pentingnya memenangi perlawanan ini, bagi anda?
Ini adalah peringkat separuh akhir National Featherweight Championship, jadi ia amat penting. Saya mahukan gelaran juara. Ini adalah peluang besar bagi saya untuk merangkul sesuatu yang besar dalam MMA; bukan sahaja untuk saya, bahkan untuk semua teman, keluarga, para peminat serta kawan-kawan sekampung saya. Jika saya menang, pasti mereka bangga. Saya benar-benar mahu menjadi juara.

A.J. Pyro bakal menentang Jian Kai Chee dalam ‘4-man ONE FC: RETURN OF WARRIORS Malaysian Featherweight Championship Tournament’ pada 2 Februari 2013 di Stadium Putra.