Advertisement

Ainan Tasneem sangkal dakwaan bersikap diva

Ainan Tasneem sangkal dakwaan bersikap diva

10 Feb – Penyanyi Ainan Tasneem menyangkal dakwaan kononnya dia kini mula bersikap seperti diva apabila sukar memberikan kerjasama sehingga menimbulkan rasa tidak senang sesetengah pihak.

"Siapalah saya untuk berlagak diva. Saya hanya penyanyi separuh masa dan bukannya penyanyi hebat. Rasanya, perkara itu timbul disebabkan masalah saya yang sukar menjawab panggilan telefon.

"Diakui, saya jarang menjawab panggilan telefon dengan segera kerana kesibukan sebagai pelajar tahun akhir. Kebanyakan masa saya dihabiskan di makmal dan tidak boleh selalu menggunakan telefon ketika belajar.

"Selalunya, orang yang ingin hubungi saya akan memaklumkan terlebih dahulu seperti menghantar mesej supaya saya boleh menjawab panggilan tanpa gangguan dan pada masa yang benar-benar lapang," katanya kepada Kosmo! Tambah penyanyi berusia 23 tahun itu lagi, dia akan kembali aktif menyanyi selepas tamat belajar sekitar Jun nanti, namun tidak lama kerana merancang untuk menyambung pelajaran ke pering sarjana pada bulan September depan.

"Saya sudah berjanji dengan keluarga untuk menamatkan pelajaran terlebih dulu sebelum aktif sepenuhnya dalam bidang nyanyian."

Dalam pada itu, Ainan berkata, dia tidak berasa terjejas dengan kontroversi yang menghimpitnya kerana dia tahu ia tidak benar.

"Saya dan keluarga hanya ketawa apabila ada kontroversi mengenai saya diperkatakan. Keluarga cukup kenal siapa saya dan hubungan dengan kekasih. Untuk apa mahu sedih atau terasa hati dengan kontroversi yang sengaja dicipta untuk menjatuhkan saya."

Dalam perkembangan terbaru, Ainan baru sahaja selesai merakam sebuah lagu terbaru bersama kumpulan Sleeq berjudul "Serahkan Padaku" yang dijangka akan diputarkan di radio tidak lama lagi.

[Sumber foto: feldavoice]