Advertisement

Amerul Affendi selesa di panggung teater



Selepas sibuk dengan banyak pengambaran di depan dan belakang kamera, graduan diploma Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dalam lakonan ini kembali ke pentas teater.
 
Di dalam teater, lakonan Amerul banyak memberikan kesan sewaktu terlibat dalam teater AirCon (2009) dan yang paling akhir sekali ialah Asrar II (2011).
 
Amerul banyak diundang berlakon dalam banyak filem yang kebanyakannya berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Antaranya ialah Gadoh, Karaoke,  Jimbo, Sini Ada Hantu, Tolong Awek Aku Pontianak dan Bunohan.
 
Kali ini, Amerul akan memainkan watak utama dalam produksi Rumah Anak Teater berjudul SeNaPaS (Sejarah Nasib Lepas) bersama Aznah Mohamed dan kumpulan Pelangi Chenta.
 
Amerul yang merupakan salah seorang anggota terawal Rumah Anak Teater menganggap teater lebih memberi kesan kepadanya berbanding dengan beraksi di depan kamera.

“Lebih-lebih lagi apabila kita dapat sampaikan secara langsung mesej dalam skrip teater ini”, katanya.
 
Amerul memberitau bahawa kes pembuangan bayi amat serius kerana perangkaan menunjukkan terdapat sebanyak 759 kes kanak-kanak (18 tahun ke bawah) hamil luar nikah  (2004-2011). Bagi remaja hamil luar nikah yang berumur 18 tahun ke atas pula, angka dari 2008-2011 adalah 695 kes.
 
Sejak lima tahun yang lalu, perangkaan yang diperolehi daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, terdapat , 407 kes direkodkan berkaitan pembuangan bayi.
 
Mengikut perangkaan yang dilaporkan Bernama di Dewan Rakyat 7  April yang lalu, statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa Selangor mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi tertinggi iaitu sebanyak 105 kes.
 
Selain Selangor, Johor mencatatkan 83 kes pembuangan bayi, Sabah (65), Sarawak (34), Negeri Sembilan (24), Pulau Pinang (22), Perak (19), Pahang dan Kedah (17), Kelantan (10), Terengganu (5), Melaka (3), Kuala Lumpur (2) dan Perlis (1).
 
Menurut Menteri (pada ketika itu) Datuk Seri Senator Shahrizat Abdul Jalil, antara punca berlakunya masalah pembuangan bayi apabila mangsa, wanita hamil luar nikah berasa takut dan malu kerana tidak mendapat sokongan keluarga, khuatir dihukum sekiranya masyarakat umum mengetahuinya dan bayi yang dilahirkan cacat.
 
Kurang pendidikan agama, tiada pengetahuan mengenai khidmat bantuan sokongan seperti khidmat kaunseling dan perkhidmatan perlindungan untuk diri dan anak, bapa kepada bayi yang dilahirkan ghaib dan tidak mahu bertanggungjawab selain wanita pendatang asing tanpa izin takut diusir apabila meminta pertolongan, katanya.
 
Justeru, atas kesedaran tersebut, pementasan ini dapat sedikit sebanyak memberi kesedaran agar statistik tersebut dapat menjadi iktibar dan perhatian orang awam dan seterusnya perangkaan tersebut tidak menunjukkan peningkatan lagi pada tahun yang mendatang.
 
“Atas kesedaran itulah saya rasa setiap daripada kita perlu memainkan peranan yang sewajarnya, mengikut kepakaran masing-masing), tambah Amerul lagi.


 
Teater SeNaPas pernah dipentaskan pada 15-18 September 2011 pada jam 8.30pm di Stor Teater DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
 
Kali ini, SeNaPaS akan dipentaskan semula dengan persembahan yang lain. Pengarahnya, Kharunazwan Rodzy memberitahu, pada pementasan kecil sebelum ini, cuma seorang pemuzik.
 
“Tetapi, kali ini, saya ingin menampilkan sebuah kumpulan akustik Pelangi Chenta”, jelas Khairunazwan.
 
Pelangi Chenta terdiri daripada Mustaqeem, Kirin dan Han Zalini. Mereka akan memainkan lagu-lagu asli yang ditulis sendiri oleh mereka.
 
SeNaPaS akan dipentaskan di The Actors Studio@ Lot 10, Rooftop Lot 10 Shopping Complex, Jalan Sultan Ismail, 50250 KUALA LUMPUR pada 16-19 Mei 2012 jam 8.30 malam dan pada 20 Mei, tayangannya pada pukul 3 petang.
 
Ia diterbitkan bersama oleh Faisal Mustaffa (Rumah Anak Teater) dan Dato Faridah Merican (The Actor’s Studio).