Advertisement

Bawa pulang abu Chin Peng demi hormati perjanjian

4 groups lodge report over Penang Deputy CM’s ‘racist’ remark – Bernama

Amat dikesalkan apabila Putrajaya masih enggan membenarkan abu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa pulang dari Thailand, selepas 25 tahun perjanjian damai menghentikan pemberontakan komunis, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy.

“Ia sangat kejam. Apa salahnya bawa pulang abunya? Kita tidak perlu bersetuju dengan komunisme.

“Dia sudah mati dan tidak ada lagi. Bolehkah abunya hidupkan kembali komunisme?” kata pemimpin DAP itu kepada The Malaysian Insider.

Pada Sabtu, Persatuan Persahabatan Abad ke-21 Malaysia mendesak kerajaan memenuhi dan menghormati Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani pada 2 Disember, 1989 di Hatyai, selatan Thai dengan PKM dan kerajaan Thailand.

Salah satu daripada syarat perjanjian itu ialah ahli PKM yang berasal dari Malaya dibenarkan pulang dan tinggal di Malaysia, jika mereka mahu.

Bagaimanapun, setiausaha agung PKM Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dilarang daripada pulang. Kini, walau selepas kematiannya, abunya juga tidak dibenarkan masuk ke dalam negara.

Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri berkata Putrajaya tidak akan membenarkan abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Beliau berkata kerajaan sensitif terhadap perasaan keluarga angkatan tentera, anggota polis dan orang awam yang dibunuh atau diseksa oleh PKM.

Hari ini ulang tahun ke-25 perjanjian itu. Chin Peng adalah seorang daripada 3 pemimpin kanan PKM yang menandatangani perjanjian itu bagi pihak parti.

Ramasamy berkata di sebalik latar belakang komunis, Chin Peng adalah secara tidak langsung seorang nasionalis seperti Sukarno dan Ho Chi Minh, yang berjuang untuk kemerdekaan.

“Dia juga berjuang menentang Jepun dan diberi penghormatan OBE (Order of the British Empire),” katanya.

Ramasamy juga bertanya mengapa beberapa ahli PKM seperti allahyarham Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh dibenarkan pulang tetapi Chin Peng tidak.

“Saya fikir ini ada kaitan dengan perkauman,” katanya, menambah amat mengecewakan apabila parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan Gerakan tidak bersuara mengenai perkara itu.

Ramasamy berkata beliau mahu menyatakan pandangannya berhubung isu itu kerana keluarganya dan keluarga Chin Peng pernah berkawan.

“Saya bukan bercakap mengenai perkara ini kerana saya ahli politik. Saya juga berasal dari Sitiawan, Perak sama seperti Chin Peng. Bapa saya dan bapa dia berkawan.

“Umur saya 6 atau 7 tahun ketika bapa saya bawa ke kedai basikal bapa Chin Peng, di mana saya dapat basikal pertama.

“Malangnya, keluarga kami terputus hubungan. Saya rasa kedai basikal keluarga Chin Peng sudah tidak ada di situ lagi,” katanya.

Kali pertama Chin Peng memohon untuk pulang ke Malaysia ialah pada lewat 1990, tetapi permohonannya ditolak pada Disember tahun berikutnya.

Selepas beberapa rakannya dalam PKM diberi keizinan untuk pulang, dia berusaha lagi untuk pulang ke kampung halamannya, termasuk memohon kepada perdana menteri pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 14 Jun, 2004 tetapi tidak berjaya.

Chin Peng kemudian memohon kepada mahkamah dan kalah dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 30 April, 2009.

Chin Peng hidup dalam buangan di Thailand sehingga meninggal dunia di hospital di Bangkok pada Hari Malaysia tahun lalu. – 2 Disember, 2014.