Samsung Galaxy Alpha, beli telefon percuma Gear 2

image

Setelah dilancarkan di beberapa buah negara pada bulan lepas, kini siri baru telefon pintar Samsung Galaxy, iaitu Galaxy Alpha akan mendarat ke tanah air Malaysia. Samsung Malaysia membuat pengumuman ini di laman facebook mereka, juga dengan mempamerkan iklan di akhbar-akhbar utama Malaysia.

Samsung Galaxy Alpha akan dilancarkan dan mula dijual di Malaysia pada hari Jumaat, 19 September 2014. Bersempena dengan pelancaran ini, Samsung Malaysia menawarkan jam tangan pintar Gear 2 secara percuma untuk 100 pembeli pertama Galaxy Alpha, di tempat yang terpilih.

Terdapat hanya 3 tempat yang akan menawarkan Gear 2 percuma ini iaitu di Samsung Experience Store di The Gardens Kuala Lumpur, Samsung Experience Store di Gurney Paragon Pulau Pinang dan Maxis Centre KLCC sahaja. Ini bermakna tawaran ini terdapat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sahaja.

image

Daunpisang telah dapat menguji secara ringkas Galaxy Alpha semasa pameran IFA di Berlin yang lepas. Dari spesifikasinya, Galaxy Alpha boleh diibaratkan seperti Galaxy S5 bersaiz kecil, iaitu skrin 4.7-inci sahaja. Ia dikuasakan CPU Exynos 8-teras, RAM 2GB dan memori dalaman 32GB.

Harga Galaxy Alpha di Malaysia dijangkakan dijual di bawah RM2000. Di IFA, terdapat 5 warna Galaxy Alpha dipamerkan iaitu hitam, putih, emas, perak dan biru. Tetapi kitaorang difahamkan warna biru merupakan warna khusus buat pasaran Eropah sahaja.

Jika anda berminat untuk mendapatkan Samsung Galaxy Alpha ini yang pastinya tiba lebih awal dari iPhone 6 di Malaysia, segera lapangkan jadual anda pada hari Jumaat ini agar anda boleh mendapatkan Gear 2 percuma dengan pembelian Galaxy Alpha.