Advertisement

Vibe X2, lancar & nipis

Pertama kali diperkenalkan kepada umum di pameran IFA 2014 di Berlin, Jerman serta paling banyak diperkatakan sebagai produk paling menarik di IFA, Lenovo Malaysia hari ni membawakan telefon pintar yang sangat unik rekaannya iaitu Lenovo Vibe X2.

Vibe X2 merupakan telefon berlapis yang pertama di dunia. Ia mempunyai tiga lapisan yang berlainan warna bagi membentuk badannya. Tiga lapisan ini dapat dilihat dengan jelas dari tepinya yang hanya senipis 7.3mm sahaja.

Walaupun nipis, Vibe X2 masih dilengkapi perkakas berkuasa tinggi. Ia menggunakan CPU terbaru Mediatek MTK6595, 8-teras berkelajuan 2.0GHz, yang lengkap dengan cip 4G LTE. Ia mempunyai skrin IPS 5-inci HD Penuh, 2gb RAM & 32gb memori dalaman. Sayangnya, kenipisan ini tidak memberi ruang untuk slot kad memori, tetapi ia menyokong dua sim. Kamera belakang pada Vibe X2 merakam gambar sebesar 13MP & kamera depan 5MP.

Tiga lapisan ini dihasilkan menggunakan tangan robotik di dalam bilik terjaga rapi. Kemasan akhirnya dibuat oleh pakar menggunakan tangan biasa sahaja bagi mencapai kemasan yang sangat teliti.

Lenovo Vibe X2 dikuasakan bateri berkapasiti 2300mAH. Yang menarik, Lenovo menyediakan aksesori lapisan keempat, cuma perlu letak di belakang telefon tanpa kelihatan janggal. Ada 2 aksesori yang terdapat buat masa kini iaitu, bateri tambahan 2300mAH berharga RM139 serta pembesar suara JBL berharga RM299.

Telefon pintar Lenovo Vibe X2 kini sudah boleh dibeli dari pengedar Lenovo seluruh Malaysia. Ia dijual pada harga RM1,199 dengan 4 pilihan warna putih, merah, emas & kelabu.