Bukan Islam Pulau Pinang tak dilarang guna kalimah ‘Allah’, kata Guan Eng

Guan Eng questions low price paid by tycoon’s company to take over Penang port

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi jaminan hari ini, tiada larangan dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kalimah "Allah".

Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang dilampirkan padanya satu fatwa berhubung perkara itu pada 2010, tidak terpakai kepada orang bukan Islam.

"Masyarakat bukan Islam tidak tertakluk di bawah undang-undang Islam," kata Lim pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.

“Enakmen itu hanya digunapakai oleh masyarakat Islam, tidak oleh bukan Islam. Jadi, tiada isu timbul," katanya mengulas gesaan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker agar Pulau Pinang membatalkan larangan itu.

“Kita tidak meluluskan mana-mana undang yang membenarkan larangan itu terpakai kepada masyarakat bukan Islam," kata Lim yang merupakan setiausaha agung DAP.

"Kenapa mereka minta kita pinda undang-undang walhal tiada undang-undang (yang diperlu) dipinda?" soalnya.

Beliau berkata, penasihat undang-undang negeri juga mengesahkan enakmen tersebut tidak terpakai terhadap masyarakat bukan Islam.

Dalam satu fatwa di bawah Seksyen 48 enakmen itu bertarikh 7 Januari 2010, mufti Pulau Pinang ketika itu Datuk Hassan Ahmad mengisytiharkan 40 perkataan, termasuk "Allah", ialah khusus untuk Islam dan orang Islam sahaja.

Katanya, sementara satu pengisytiharan boleh dibuat, sama ada ia boleh dikuatkuasakan atau tidak ialah perkara berbeza.

Dalam satu kenyataan semalam, Ti yang juga ahli jawatankuasa pusat MCA berkata, Pulau Pinang sepatutnya memulakan langkah dan tidak berterusan mengelirukan rakyat, khususnya komuniti Kristian, mengatakan larangan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' ialah kesalahan Barisan Nasional.

Beliau berkata Lim dan DAP sering menyalahkan Putrajaya, mendakwa yang kegagalan kerajaan pusat dan perdana menteri untuk bertindak menjadi punca kebuntuan dan pertelingkahan undang-undang berhubung kegunaan kalimah Allah.

"Lim sepatutnya sudah sedar sekarang yang enakmen negeri, termasuk di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Rakyat, (PR) yang melarang menggunakan kalimah Allah," katanya.

Ti berkata ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PR Pulau Pinang mempunyai jumlah yang mencukupi di dalam DUN untuk membatalkan pengharaman 40 perkataan itu dengan melakukan pindaan kepada enakmen itu.

Lim berkata hari ini, apa pun keadaannya, bukan satu amalan dan budaya rakyat Kristian Pulau Pinang menggunakan kalimah 'Allah' dalam ibadat mereka kerana biasanya ia dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil yang mempunyai terjemahan masing-masing untuk perkataan yang membawa makna "Tuhan".

"Jadi, setakat di kalangan rakyat Pulau Pinang, perkataan itu tidak digunakan," katanya.

Lim berkata ia hanya menjadi isu kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang berdoa dalam Bahasa Melayu dan secara tradisinya menggunakan perkataan Allah dalam ibadah mereka. – 12 Disember, 2014.