Advertisement

Faizul Sani juara AF2013, tewaskan peserta pilihan Azhael

Faizul Sani juara AF2013, tewaskan peserta pilihan Azhael

18 Nov – Konsert akhir program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) yang berlangsung pada malam Ahad telah menyaksikan kejutan apabila peserta Faizul Sani dinobat sebagai juara AF2013, sekaligus mengenepikan duo pilihan iaitu Azhael.

Faizul mendendangkan lagu "Hanyut" nyanyian Faizal Tahir dan lagu barunya "Sepasang Sayap" ciptaan Amir Jahari dan AG Coco memberikan persembahan bertenaga.

Kemenangan itu membolehkan Faizul atau nama sebenarnya Mohd Faizul Sani, 28, membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 dan kontrak rakaman yang juga bernilai RM 100,000 berserta sebuah trofi.

Manakala naib juara, duo Azhael iaitu Mohd Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 dan trofi. Mereka juga berjaya memenangi anugerah AF Buzz.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Amira yang menerima wang tunai sebanyak RM20,000 beserta trofi.

Konsert yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur, dimeriahkan lagi dengan persembahan Datuk Siti Nurhaliza dan Johan yang menyanyikan lagu "Sahabat".