Advertisement

Hans Isaac bakal arah filem antarabangsa

Hans Isaac bakal arah filem antarabangsa

20 Apr – Pelakon yang kini lebih dikenali sebagai pengarah dan penerbit, Hans Isaac memberitahu beliau bakal menghasilkan sebuah filem Inggeris tidak lama lagi.

Selebriti berdarah kacukan yang berusia 43 tahun ini menjelaskan filem yang bakal dihasilkan ini memfokuskan pada pasaran filem antarabangsa dan bukan terhad kepada industri filem di Malaysia sahaja.

"Filem yang bakal direalisasikan ini akan menggunakan bahasa Inggeris dan pihak produksi masih lagi dalam pencarian pelakon yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan lancar," ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran wajah baru mStar Online di Alexis The Gardens Khamis lalu.

Bukan meminggirkan filem berbahasa Melayu, tetapi Hans menerangkan yang beliau tegas dengan pendiriannya untuk tidak menghasilkan dan mengarahkan filem Melayu kerana mahu fokus pada projek terbarunya yang akan datang.

Dalam pada itu, Hans turut ditanya mengenai status terbaru hubungannya dengan pelakon dan pengacara jelita, Neelofa dan beliau enggan komen mengenainya dan hanya menjelaskan kehidupannya kini lebih gembira dan tenang.

Dalam perkembangan lain, Hans bakal mementaskan teater "Muzikal Supermokh" yang mengisahkan legenda terkenal bola sepak tanah air, Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari pada 8 hingga 21 September bertempat di Istana Budaya.