Kes transgender: Shafee digesa letak jawatan wakil hak asasi manusia Malaysia

Kumpulan sivil menggesa peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melepaskan jawatannya sebagai wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan Asia Tenggara (AIHCR), ekoran tindakannya menjadi peguam melibatkan hukuman terhadap kumpulan transgender (pondan) komuniti Muslim.

Mereka berkata, dengan menjadi peguam kepada kerajaan Negeri Sembilan dalam kes rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini, beliau melanggar hak asasi manusia dan tidak lagi boleh mewakili Malaysia dalam suruhanjaya berkenaan.

"Pendapat saya, Shafee seringkali melanggar asas hak asasi manusia yang mana beliau sepatutnya mempertahankannya," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Asia kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kes transgender itu adalah yang terakhir kerana Shafee juga bertindak sebagai pendakwaraya dalam kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 2011, Shafee juga mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kes tiga pelajar yang mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), kata Robertson.

"Dalam permainan baseball, tiga kali 'strike' pemain akan terkeluar. Beliau kini melakukan tiga strike. Tindakannya memalukan suruhanjaya.

"Sudah tiba masanya beliau meninggalkan AIHCR, atau kerajaan perlu ambil tindakan menyingkirkannya," kata Robertson.

Shafee dicalonkan oleh Kementerian Luar pada 2009 sebagai wakil Malaysia dalam suruhanjaya berkenaan dan akan meneruskan khidmatnya sehingga hujung 2015.

Walaupun pelantikan itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kumpulan sivil mengkritiknya kerana proses itu didakwa tidak dilaksanakan dengan telus.

Yap Swee Seng (gambar, kanan), pengarah eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata kepada The Malaysian Insider, konflik jelas kelihatan antara tugas Shafee sebagai anggota suruhanjaya hak asasi manusia dan peranannya menghalang golongan transgender daripada menikmati kebebasan mereka.

"Jika beliau bertindak sebagai pesuruhjaya, beliau perlu mempertahankan hak asasi manusia. Tetapi, dengan mewakili pihak kerajaan, saya berasa beliau menentang hak transgender.

"Beliau sebenarnya perlu memilih sama ada mahu menjadi pesuruhjaya atau wakil kerajaan dalam kes itu. Tidak boleh kedua-duanya sekali," kata Yap.

Sebagai peguam mewakili kerajaan Negeri Sembilan, Shafee akan mendapatkan permohonan bagi mengenepikan keputusan mahkamah yang memutuskan enakmen melarang transgender berpakaian seperti wanita melanggar Perlembagaan.

Pada 7 November, hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang mewakili tiga hakim memutuskan transgender berhak memakai pakaian wanita kerana pihak berkuasa agama negeri gagal membuktikan kedudukan Islam tentang cara pemakaian mereka yang mempunyai penyakit sindrom kecelaruan identiti.

Menurut dokumen mahkamah, mereka adalah jurusolek artis yang ditahan kerana memakai pakaian menyerupai wanita dan mengalami diskriminasi yang teruk kerana sindrom kecelaruan identiti dialami mereka.

Michelle Yesudas (gambar, kiri), koordinator undang-undang Lawyers for Liberty berkata, Shafee membantu Negeri Sembilan menentang norma-norma antarabangsa terhadap hak jantina dan autonomi peribadi.

"Beliau perlu menjalankan tanggungjawabnya dalam suruhanjaya itu dengan serius, jika tidak lebih baik letak jawatan dan berhenti menggelarkan dirinya sebagai pejuang hak asasi manusia.

"Saya bimbang beliau berkelayakan untuk menyumbang kepada dunia tetapi gagal di negara sendiri," kata Yesudas.

Ahli Jawatankuasa Majlis Peguam, Andrew Khoo yang mengetuai jawatankuasa hak asasi manusia majlis itu menolak pendapat sedemikian.

"Peguam tidak boleh ditentukan dengan kes yang diterimanya daripada klien. Hanya kerana Shafee mewakili Negeri Sembilan, tidak bermakna beliau bersetuju dengan kedudukannya itu," kata Khoo.

Tambahnya, sejak Shafee dilantik kerajaan di AIHCR, peguam Umno itu tidak boleh dianggap mewakili mana-mana badan hak asasi manusia di Malaysia.

"Kedudukan Shafee sebagai wakil di AIHCR adalah wakil kepada kerajaan, beliau bukan wakil kumpulan sivil. Beliau juga tidak semestinya perlu mewakili pendapat mana-mana badan hak asasi manusia," katanya.

Shafee ketika dihubungi The Malaysian Insider bagaiamanapun berkata akan memberikan ulasan terhadap kritikan berkenaan dalam satu kenyataan yang akan dikeluarkan kemudian. – 24 Disember, 2014.