Advertisement

Kualiti universiti Malaysia setanding universiti luar, kata ahli akademik

‘Membayar’ untuk terbit jurnal tingkatkan ranking universiti?

Kualiti yang dimiliki universiti tempatan di negara ini bukan sahaja setanding dengan universiti luar negara, malah lebih utama ia sepadan dengan nilai wang, kata Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Katanya, kos pembelajaran di universiti tempatan yang mampu ditanggung pelajar termasuk kos sara hidup, yuran pengajian dan kos penginapan, menjadikannya antara faktor utama menarik pelajar asing ke negara ini.

"Misalnya di Harvard, nak buat MBA (Sarjana Pentadbiran Perniagaan) mencecah RM50,000 setahun, sedangkan di negara kita tak macam itu. Ijazah dan ahli akademik kita diterima di seluruh dunia, tiada masalah melanjutkan pelajaran," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamed berkata, kemudahan dan tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dan diiktiraf, menjadikan isu ranking universiti bukan satu-satunya alat untuk mengukur kualiti dan keupayaan sesuatu universiti itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang meminta pembangkang supaya berhenti daripada mempolitikkan isu ranking universiti institut pengajian tinggi (IPT) tempatan setanding dengan negara luar.

Menurut Idris, Malaysia kini menduduki ranking kesembilan daripada 30,000 universiti di seluruh dunia dan menjadi tarikan pelajar asing untuk meneruskan pengajian berbanding Singapura, Korea Selatan dan Belanda.

Mengulas lanjut, Mohamed berkata, universiti tempatan perlu diberi masa untuk berkembang memandangkan usia kebanyakan universiti masih muda jika dibandingkan dengan universiti terkemuka luar negara.

"Jangan lihat dari satu sudut, nak banding dengan Cambridge sudah 800 tahun, Oxford 1,000 tahun, Harvard sudah 300 tahun," katanya sambil menambah terdapat pihak tertentu yang sering memandang rendah terhadap keupayaan universiti dan tenaga pakar tempatan.

Mohamed bercakap kepada Bernama selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di UUM.

Sementara itu, Naib Canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata penubuhan sesuatu universiti itu bukan sekadar melahirkan golongan cerdik pandai, malahan turut berfungsi membangunkan sesuatu kawasan.

"Contohnya Unimas membangunkan kawasan Kota Samarahan di Sarawak. Dengan adanya Unimas itu kita telah membangunkan kawasan tersebut melalui pelbagai penyelidikan," katanya.

Ini katanya, menjadikan sesuatu universiti itu sebagai satu 'pusat pembangunan' bagi membolehkan masyarakat sekeliling mendapat faedah daripada penubuhan universiti berkenaan.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan isu ranking universiti memang menjadi tumpuan setiap universiti, namun universiti perlu diberi masa dan sokongan pelbagai pihak dalam merealisasikan hasrat tersebut. – Bernama, 28 Februari, 2015.