Lagu Yuna tercalon dalam Oscar

Lagu Yuna tercalon dalam Oscar

7 Jan – Penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna sekali lagi mengharumkan nama negara apabila lagu duetnya dengan kumpulan Owl City, "Shine Your Way" telah tersenarai dalam pencalonan awal anugerah Oscar atau Academy Awards ke-86.

Walaupun berdepan ranjau, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai membuktikan pengorbanan lebih tiga tahun berada di negara asing membuahkan hasil.

Yuna, 27, bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi bagi lagu tema untuk filem animasi Hollywood, "The Croods".

"Walaupun saya hanya berduet dalam lagu ini, namun saya sangat teruja kerana lagu ini terpilih ke Oscar. Harapan saya, dapat terus menyumbang lebih banyak lagi bakat saya dalam filem akan datang, tidak kira di Hollywood atau Malaysia.

"Saya akan tetap terus berkarya demi kelangsungan muzik dan amat bersyukur dan berbangga jika bakat yang saya ada ini menjadi perhatian luar," katanya kepada Berita Harian.

Yuna akan bersaing dengan 74 buah lagu lain untuk menempah tempat dalam kategori 'Original Song', senarai penuh pencalonan Oscar akan dapat diketahui pada 16 Januari depan.