Neelofa bakal berundur dari industri hiburan?

Neelofa bakal berundur dari industri hiburan?

21 Jul – Setelah selesa menjalani penghijrahan baru dalam hidupnya, pelakon dan pengacara popular Neelofa khabarnya bakal mengundurkan diri dari industri hiburan tanah air selepas membuat keputusan untuk tampil berhijab sepenuhnya.

Selain itu, ada pula segelintir pihak melabelkan dirinya kini sebagai ustazah segera seperti yang berlaku kepada sesetengah selebriti wanita yang berhijrah memakai tudung sebelum ini.

Namun, pengacara kepada rancangan Meletop ini melahirkan rasa kurang senangnya apabila dilabelkan sedemikian kerana banyak lagi perkara yang perlu difahami dan dipelajarinya lagi.

"Saya tak mahu jadikan perubahan ini sebagai sesuatu yang drastik tapi cukuplah kalau saya belajar perlahan-lahan dan pada masa yang sama membawa manfaat kepada diri saya dan orang lain," jelasnya seperti yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, sejak kebelakangan ini ada pihak yang mengatakan dirinya bakal meninggalkan program Meletop dek kerana kandungan program berkenaan yang lebih ke arah hiburan.

"Saya selalu fikir macam mana nak mengendalikan gosip, carta muzik dan filem dan macam-macam lagi dalam keadaan berhijab. Adakah mereka boleh menerima saya atau sebaliknya.

"Tapi Alhamdulillah nampaknya tak ada masalah yang besar dan mereka tetap menerima saya. Itu juga rahmat buat saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa bakal muncul dengan filem terbaru berjudul "Pilot Café" dan "Dollah Superstar" tidak lama lagi.

Walaupun filem berkenaan menampilkan sisi lepasnya yang tidak bertudung, namun dirinya terus positif dan menganggap filem-filem tersebut tidak akan memberikan impak buruk kerana itu adalah masa silamnya yang sudah terjadi dan tidak boleh diubah.

Selain sibuk dengan kerjaya seninya, Neelofa juga kini sudah mengembangkan lagi bisnesnya dengan memperkenalkan jenama Naelofar khas buat muslimah dan kekal menguruskan perniagaan sedia ada seperti Lofa Lens dan Bokitta Hijab.

Our goal is to create a safe and engaging place for users to connect over interests and passions. In order to improve our community experience, we are temporarily suspending article commenting