Pekin Ibrahim bergandingan dengan aktor Hollywood

Pekin Ibrahim bergandingan dengan aktor Hollywood

9 Feb – Pelakon popular Pekin Ibrahim bakal muncul dengan filem terbarunya bergandingan dengan pelakon Hollywood selepas dilamar penerbit filem dari Jerman untuk membintangi filem "Ahmed School".

Bercerita mengenai lamaran untuk membintangi filem tersebut berlaku ketika di berkunjung ke London, United Kingdom pada Mac tahun lalu untuk memberikan taklimat dan menghadiri majlis tayangan filem "Bunohan" sempena acara Kulcats Malaysian Creative Art anjuran pelajar Malaysia di sana.

"Ketika sesi tayangan filem itu berlangsung, saya didatangi oleh penerbit filem terbabit. Beliau mempelawa saya hadir uji bakat yang diadakan di Jakarta.

"Saya tidak menyangka sama sekali apabila diberikan peranan utama dalam filem yang mengisahkan mengenai seorang lelaki berdarah kacukan Melayu-Indonesia, yang memartabatkan bahasa Melayu di Jerman," katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Dalam pada itu, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Bin Ibrahim turut menyatakan keterujaannya apabila dapat bergandingan aktor Hollywood yang pernah muncul dalam dua filem "Batman" yang juga merupakan idolanya.

"Julung kali bertemu dengan beliau ketika sesi uji bakat berkenaa, memang saya sangat teruja. Walaupun saya tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi saya seronok dapat berbual dengan bintang Hollywood itu secara bersemuka."

Sementara itu, Pekin berkata penggambaran filem "Ahmed School" akan mula bermula pada Jun depan di Jerman selama empat bulan.

"Dalam filem ini, pelakon Hollywood itu akan mengajar bahasa Inggeris, manakala Ahmed pula mengajar bahasa Melayu.

"Saya sendiri akan diajar bercakap dalam bahasa Jerman. Ia tidaklah sukar kerana dalam filem itu, saya perlu berdialog dalam bahasa Melayu. Cuma beberapa babak memerlukan saya berbahasa Jerman dan Inggeris."