Pelakon, pelawak Ahmad Busu meninggal dunia

Pelakon veteran dan pelawak terkenal Ahmad Busu, 60, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam akibat diserang penyakit angin ahmar.

Exco Seniman Malaysia, Meary Chu Abdullah, berkata allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hospital berkenaan pada 7.05 malam.

"Mula-Mula arwah demam biasa, tapi tiba-tiba tidak sedarkan diri. Allahyarham meninggal dunia sejurus selepas tiba di hospital berkenaan.

"Kita juga akan memberi sumbangan berbentuk wang ringgit kepada balu dan anak Allahyarham untuk pengurusan jenazahnya," katanya.

Beliau berkata, jenazah akan dibawa pulang di kediaman allahyarham di Taman Seri Andalas dan dikebumi pada kira-kira 9 pagi hari ini di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sirih, Klang.

Ahmad, yang berasal dari Taiping, Perak meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Allahyarham, yang dikenali dengan watak Mat Deris dalam siri komedi 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu', memulakan kerjaya seni menerusi pementasan teater pada 1978.

Meary berkata, allahyarham semasa hayatnya, seorang yang baik hati, suka membuat lawak dan peramah. - Bernama, 11 November, 2013.