Advertisement

Pemimpin Umno tidak bimbang dipecat kerana lantang mengkritik

Pemimpin Umno tidak bimbang dipecat kerana lantang mengkritik

Pemimpin Umno peringkat cawangan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail tidak bimbang akan menerima nasib sama seperti bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang baru-baru ini dipecat daripada jawatannya di dalam parti.

Ketua penerangan Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka itu berkata, beliau yakin tindakannya yang pernah menuntut Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berundur itu bukan sesuatu yang melanggar perlembagaan parti walaupun mengaku pernah diberi amaran akan dipecat.

"Sama macam saya, mereka (Umno) nak pecat, tapi atas isu apa? Mereka tidak boleh pecat saya," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Ketua-ketua cawangan ada menegaskan, beliau (Najib) akan memecat saya dan mengambil tindakan terhadap saya. Tetapi setakat ini tidak ada apa-apa tindakan.

"Dan saya yakin, apa yang saya buat sebenarnya tidak melanggar perlembagaan parti. Saya bersuara untuk perkara yang benar. Itu sebab saya rasa mereka tidak mengambil tindakan terhadap saya,” katanya.

Syed Rosli berkata pelucutan jawatan Khairuddin minggu lepas disebabkan status beliau yang diisytiharkan muflis, bukan kerana laporan polis yang dibuatnya terhadap syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apabila diisytiharkan muflis, automatik dalam perlembagaan Umno, mana-mana ahli yang memegang jawatan akan dilucutkan jawatan mereka," katanya.

Beliau berkata tidak ada bukti asas untuk menuduh Umno mengambil tindakan terhadap Khairuddin berdasarkan laporan dibuatnya itu, tetapi ia mungkin dilakukan jika laporannya itu memberi ancaman kepada parti dan perdana menteri.

Menurut pemerhati, pelucutan jawatan Khairuddin hakikatnya ialah untuk memberi tekanan kepadanya supaya "tidak terlampau menunjuk sangat" dan parti menggunakan alasan status muflisnya bagi melucutkan jawatannya.

Sabtu lalu, Umno Pulau Pinang mengesahkan ibu pejabat Umno melucutkan jawatan Khairuddin dalam parti kerana mahkamah mengisytiharkannya bankrap pada 24 Mei tahun lepas dan satu laporan mengenai kebankrapannya itu dibuat ke ibu pejabat Umno.

Syed Rosli berkata tindakan Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB Disember tahun lepas tidak melanggar perlembagaan Umno tetapi pemecatan itu dibuat sekarang kerana beberapa pihak baru mendapat tahu tentang status muflisnya.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider, ketua pemuda Umno bahagian Khairuddin sendiri yang membuat aduan rasmi kepada lembaga disiplin parti memaklumkan beliau sudah jatuh muflis.

Ditanya adakah itu cara Umno menangani kritik, Syed Rosli mengakui beliau difahamkan Khairuddin turut mendapat tekanan susulan laporannya terhadap 1MDB itu.

"Saya juga dapat tahu daripada kepimpinan bahagian, yang mereka menyerang saya, mengkritik kredibiliti saya sebagai pemimpin cawangan.

"Mereka mengkritik apa yang saya lakukan untuk Umno selama ini - katanya saya gagal memimpin. Ada juga kata saya gagal menguruskan cawangan.

"Sedangkan, cawangan kami adalah cawangan yang paling aktif dan juga tidak pernah gagal mengadakan mesyuarat agung," katanya.

Syed Rosli berkata Umno perlu memikirkan kesan terhadap parti itu sebelum mengambil sebarang tindakan dan ia perlu berhati-hati kerana segala tindakan parti terbesar orang Melayu itu menjadi perhatian umum.

Pada 17 Disember tahun lepas, Syed Rosli dalam surat terbukanya mendesak Najib berundur secara terhormat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) demi memberi nafas baru kepada parti.

Katanya, Umno ketika ini semakin lemah daripada segi sokongan orang Melayu mahupun pengundi parti komponen Barisan Nasional (BN), terutamanya parti berteraskan kaum Cina dan India.

Sebelum itu pada 12 Disember, Khairuddin membuat laporan polis di balai Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB yang dikatakan sarat menanggung hutang.

Pada 15 Januari tahun ini pula, Khairuddin yang juga penerbit buku "50 dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM", semasa membuat laporan terhadap 1MDB di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, beliau mungkin meninggalkan parti itu kerana serangan diterimanya akibat mengkritik 1MDB. – 4 Mac, 2015.