Pengarah & pelakon "Mamak Cupcake" kongsi pengalaman

Pengarah & pelakon "Mamak Cupcake" kongsi pengalaman

"Mamak Cupcake" menggabungkan budaya dan makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Diarahkan oleh Woo Ming Jin dan dibarisi pelakon popular seperti Shaheizy Sam, Siti Saleha, Faizal Ismail, Azad Jazmin, Natasha Hudson dan Veerasingam, Tupai sempat menemubual mereka bagi mengetahui tentang pengalaman ketika menghasilkan "Mamak Cupcake".

Hai Sam, bagaimana anda boleh bertutur dialek Mamak memandangkan anda bukanlah seorang Mamak?
Shaheizy Sam: Selepas membaca skrip berulang kali dan melakonkan beberapa babak, saya sedar saya perlu bertutur seperti bapa saya dalam filem ini (lakonan Veerasingam). Cubaan saya untuk bercakap seperti 'appa' masih tidak begitu betul tetapi saya bernasib baik kerana Azad banyak membantu saya. Selain daripada itu, saya perlu berterima kasih kepada 'bapa' saya dan Pakcik Acappan atas bantuan mereka. Walaupun dialek saya masih tidak sempurna, saya sudah melakukan yang terbaik. Saya mahu penonton mempercayai bahawa Shaheizy Sam dalam "Mamak Cupcake" adalah seorang Mamak sebenar.

Bagaimana pula dengan anda, Azad? Bagaimana pengalaman anda bekerjasama dengan Sam dan barisan pelakon lain?
Azad Jazmin: Pertama kali, saya sangat sukakan nasi kandar yang merupakan salah satu jenis makanan Mamak tetapi saya tidak menyukai kek cawan. Disebabkan itu dalam filem ini, saya membawa watak sebagai seorang anak yang suka melawan dan ingin menjadi penyanyi hip hop. Saya sudah lama mengenali Sam dan pernah bekerjasama dengannya beberapa kali. Pada satu hari dia pernah bercakap dengan saya bahawa dia ingin menjadi Mamak, tetapi saya katakan tidak boleh kerana dia lebih menyerupai orang Jawa. Di situlah segala-galanya bermula. Dia telah menjalani uji bakat untuk "Mamak Cupcake" dan memegang watak sebagai seorang Mamak. Saya bertuah dapat bekerjasama dengan semua orang yang terlibat dalam filem ini. Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Memandangkan anda seorang Mamak, adakah anda banyak melatih pelakon lain agar bertutur dengan betul?
Azad Jazmin: Tidak juga. Saya banyak berlakon dengan Sam dan secara jujurnya, saya tidak mempercayai dengan mengajar dan melatih. Saya tidak menggemarinya. Saya cuma memperbetulkan sekiranya salah dan Sam juga banyak bertanya jika dia kurang pasti mengenai karakternya. Ia seperti berkongsi maklumat mengenai budaya Mamak.

Encik Vee, bagaimanakah perasaan anda melakonkan watak sebagai bapa kepada Sam dalam filem ini?
Veerasingam: Shaheizy Sam benar-benar menyentuh perasaan saya. Saya sudah berada dalam budaya Mamak ini sejak tahun 1973 dan berlakon di samping Sam membuatkan saya gembira. Lakonannya sangat bagus dan dia berjaya membawa karakternya dengan baik sekali. Anak saya yang berusia 14 tahun banyak mendapat inspirasi daripada karakter Sam dan kini menjual kek cawan.

Natasha, memandangkan filem ini mengisahkan kek cawan, adakah anda tahu bagaimana untuk membuatnya?
Natasha Hudson: Saya rasa kebanyakan wanita perlu mempunyai pengetahuan asas dalam masakan. Mak saya adalah memang pakar dalam membuat kek cawan, jadi saya banyak belajar daripadanya. Saya tahu membakar biskut dan kek, tetapi tidak begitu mahir. Dalam filem ini, kami ada orang yang pakar dalam menghasilkan kek cawan membantu kami.

Bagaimana pula dengan anda, Faizal? Anda pernah menghasilkan kek cawan?
Faizal Ismail: Tidak, saya hanya tahu makan sahaja. Namun saya merasakan berlakon dalam filem ini adalah satu cabaran buat saya kerana ini adalah pertama kali saya berlakon dengan bahan-bahan membuat kek cawan dan sebagainya. Selepas tamat penggambaran, saya ada pelajari beberapa asas untuk menghasilkan kek cawan.

Woo, sebagai pengarah filem "Mamak Cupcake", anda ingin berkongsi pengalaman anda menghasilkan filem ini?
Woo Ming Jin: Ianya satu pengalaman yang cukup menarik dapat bekerjasama dengan mereka semua yang cukup berbakat. Syukur filem ini dihasilkan dengan baik seperti yang dijangkakan. Ia adalah sebuah filem komedi yang sesuai ditonton setiap lapisan masyarakat. Kami harapkan semua penonton akan terhibur dengan "Mamak Cupcake".

Terima kasih semua!
Sama-sama!

"Mamak Cupcake" telah ditayangkan di pawagam bermula 28 Ogos lalu.