Syabas Johannians!

Bartholomew Chan

12 OGOS — Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar berita mengenai cerita atau insiden kurang enak isu-isu yang melibatkan perkauman dan agama di media sosial.

Kebanyakan komen yang dibuat bukan sahaja mengundang kemarahan dan kebencian orang ramai bahkan juga memberi impak kepada hubungan baik antara kaum yang telah terjalin sejak sekian lama.

Apa yang mengecewakan, disebabkan angkara satu dua individu, seluruh komuniti menerima tempiasnya dan timbul juga perasaan syak-wasangka. Lantaran itu, masing-masing bangkit untuk mempertahankan pihak masing-masing.

Apa yang disebutkan di atas bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini. Namun demikian, keadaan tersebut tidak menggambarkan keadaan keseluruhan di dalam negara. Sebaliknya, majoriti rakyat di negara ini masih toleran antara satu sama lain.

Penulis juga mempunyai ramai sahabat berbilang kaum yang hingga ke hari ini masih mengajak penulis untuk minum petang atau lepak di restoran berhampiran. Bermacam-macam topik yang dibincangkan dan ia berlangsung dalam suasana yang harmonis.

Suasana yang sama dapat dilihat semasa Majlis Perjumpaan Ulang Tahun ke-30 Pelajar-Pelajar St John’s Institution (Kelas 1989) yang berlangsung di sekolah berkenaan baru-baru ini. Apa yang cukup membanggakan, yang hadir ke majlis tersebut terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

Barisan pelajar-pelajar St John’s Institution (Kelas 1989) bergambar bersama dengan guru-guru sekolah mereka ketika itu pada Majlis Perjumpaan Ulang Tahun ke-30 di St John’s Institution, baru-baru ini.

Mereka datang ke sekolah dengan penuh kegirangan dengan harapan untuk bertemu semula dengan rakan-rakan setingkatan tidak kira mereka Melayu, Cina dan India. Ada yang sanggup balik dari luar negara semata-mata untuk menghadiri majlis perjumpaan berkenaan. Difahamkan juga, ada dalam kalangan pelajar SJI89 yang bertanyakan apakah akan ada majlis perjumpaan susulan selepas ini.

Mereka datang ke majlis itu sebagai seorang Johannian dan tidak meletakkan dirinya sebagai seorang Melayu, Cina atau India. Soal perkauman tidak berbangkit sama sekali. Malah, hubungan antara mereka begitu erat ibaratkan abang, kakak dan adik dalam sebuah keluarga besar yang bersatu. Memetik kata-kata dalam bahasa Cina, “wo men dou shi yi jia ren”. Susah senang dilalui bersama dan apabila seseorang ditimpa musibah ataupun apabila ada panggilan untuk memberikan bantuan, mereka akan tampil untuk membantu.

Mereka berbuat demikian kerana mereka cintakan sekolah, mengutamakan persahabatan dan paling signifikan, mereka menghayati erti sebenar semangat perpaduan dan muhibah yang menjadi tonggak utama kepada kekuatan negara selama ini.

Biarpun kalangan mereka yang datang ke majlis tersebut terdiri daripada mereka yang ternama dan berjaya dalam hidup, namun begitu, ia tidak sekalipun merobah sikap dan jati diri mereka sebagai seorang Johannian. Kejayaan yang dikecapi itu sebaliknya mengajar mereka untuk bersikap rendah diri, sentiasa rasional dan menggunakan kejayaan yang dikecapi untuk membantu mereka yang memerlukan.

Inilah sikap dan semangat sebenar yang wajar diteladani oleh semua. Apa yang dipamerkan oleh para pelajar berkenaan membuktikan bahawa semangat perpaduan dan kekitaan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini masih utuh biarpun kedengaran isu-isu perkauman yang kurang enak sejak kebelakangan ini.

Syabas diucapkan kepada penganjur Majlis Perjumpaan Pelajar-Pelajar St John’s Institution Kelas 1989 kerana berjaya menganjurkan perjumpaan yang begitu menarik sarat dengan pengisian yang bermakna.

Kita tidak perlu menoleh terlalu jauh ke belakang untuk melihat semangat perpaduan dan 1Malaysia yang wujud di negara ini, lihat sahaja kepada semangat persahabatan dan persaudaraan yang terjalin dalam kalangan pelajar di sekolah tersohor ini.

Syabas Johannians!

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.