WeChat Kini Berada Di Malaysia

Dengan lebih 300 juta pengguna di seluruh dunia, WeChat kini mengorak langkah untuk mengembangkan sayap mereka di Malaysia, dengan melancarkan buat pertama kalinya iklan televisyen Bahasa Malaysia pertama syarikat tersebut yang dibintangi oleh selebriti hebat Lisa Surihani and Shaheizy Sam, yang juga merupakan duta WeChat.

Poshu Yeung dari WeChat mengatakan, “Apabila kami melancarkan WeChat pada Januari 2011, aplikasi ini mendapat sambutan di luar dugaan dengan pengguna yang melebihi 300 juta dalam tempoh hanya lebih 2 tahun. WeChat adalah salah satu aplikasi komunikasi sosial mudah alih yang berkembang paling cepat.”

Dilancarkan di Malaysia pada Jun 2012, platform komunikasi sosial mudah alih percuma ini menyokong penghantaran perbualan langsung (live chat), suara, video, foto dan mesej teks, dan seterusnya menjadi amat popular di kalangan pengguna akaun tempatan. Kepopularan WeChat di kalangan rakyat Malaysia telah menaikkan kedudukan aplikasi tersebut ke nombor satu di dalam kategori rangkaian sosial percuma di iOS Appstore dan kategori komunikasi percuma Android Google Play untuk setahun. Ia turut berada di kedudukan atas di dalam kategori percuma secara keseluruhan.

Apabila ditanya, Yeung berkata TenCent, syarikat pembangun WeChat, akan sentiasa memastikan bahawa WeChat adalah percuma buat selama-lamanya, dan mensasarkan untuk mendapatkan 75% daripada pasaran tempatan untuk aplikasi chat. Beliau juga berkata aplikasi game dan hiburan akan dimasukkan ke dalam WeChat di masa yang terdekat.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Ba U Shan-Ting, Presiden Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura yang juga merupakan rakan kongsi WeChat.