Yasin Sulaiman terima ugutan bunuh

Kleopatra Zachariah
Yahoo Newsroom



GARA-gara sebuah lagu, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman telah menerima ancaman bunuh oleh dua orang pelayar internet baru-baru ini. Ugutan tersebut dilakukan selepas Yasin memuat naik video klip lagu berjudul “Reformasi” pada 25 Februari lalu.

Lagu “Reformasi” yang merupakan ciptaan penuh olehnya telah dinyanyikan  oleh Yasin sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 pada 18 Februari lalu.

Barangkali, oleh kerana ia berbaur politik, maka pengikut parti politik pembangkang membuat ugutan bunuh kepada Yasin. Namun tegas penyanyi itu dalam sidang media yang diadakan semalam, dia sedikit pun tak teringin untuk bergiat aktif dalam bidang politik.

“Saya tidak berminat untuk aktif berpolitik, tapi saya memang menyokong Parti Pakatan Rakyat kerana berasa ia sejajar dengan saya. Jangan kerana lagu Reformasi itu saya dihukum, ia tidak adil. Ini kerana “Reformasi” itu bersifat sebagai satu ekspresi orang ramai. Saya juga tidak mengutuk mana-mana pihak," kata penyanyi yang pernah menjulang trofi Lagu Terbaik menerusi lagu, “Mimpi Laila” di acara berprestij, Anugerah Juara Lagu pada tahun  2001.

Sehubungan itu, Yasin melalui peguamnya, Yusmadi Yusoff mengesa supaya pihak yang mengugutnya berhenti membuat ugutan atau tindakan akan diambil.

BACA: Kerani mengaku tidak bersalah curi wang Lisa Surihani

BACA: Rosyam Nor beli kereta mewah bernilai RM3 juta?


Dua penggugut itu menggunakan akaun pengguna Youtube melalui nama Pencinta Muzik dan Azzali Abdul Aziz dengan beberapa mesej kasar, berbaur ugutan dan mengancam keselamatan Yasin.

"Kalau ugutan bunuh dan provokasi ini tidak dihentikan kami akan membuat laporan polis dan tindakan berkaitan memandangkan kami juga sudah mempunyai bukti yang mencukupi.
















"Justeru, saya menggesa supaya pihak terbabit menghentikan ugutan berkenaan dengan segera dan tidak menghalang pihak-pihak berwajib untuk memantau atau melakukan siasatan berhubung kejadian ini," katanya ketika sidang akhbar khas di Hush Entertainment Studio, Kota Damansara, Selangor tengahari tadi.

Penyanyi tersebut bagaimanapun bersedia memaafkan mereka jika mereka meminta maaf dan dia tidak serik untuk bekarya walaupun telah menerima ugutan yang mampu mengancam nyawanya.