Anwar sanggup mati di penjara kerana peribadi? – Subky Latif

Saya tidak rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dia mencebur diri dalam politik. Sebelumnya saya memang mendekatinya.

Semasa dia jadi menteri, ada dua tiga kali terserempak dengannya. Selepas bebas penjara dua tiga kali, juga bertemunya sekalipun dia mengetuai pakatan yang parti saya, PAS, menjadi sekutunya.

Saya terharu dia dipenjara lagi dan saya bangga dia sanggup dipenjara dan sedia mati di dalam penjara bagi membebaskan negara dan rakyat daripada belenggu penindasan dan cengkaman kezaliman sejak merdeka.

Jika dia dikatakan berjuang untuk jadi perdana menteri, sedikit saja betulnya. Tetapi jika dikata dia hendak jadi perdana menteri, ia adalah betul.

Tetapi mengapa untuk jadi perdana menteri, sanggup dipenjara dan sedia mati dalam penjara sedangkan harapan jadi perdana menteri belum tentu jadi?

Lalu ada yang berkata, tinggalkanlah dia jadi laksana haiwan raksasa yang dikatakan wujud zaman purba, justeru perjuangannya demi peribadi saja, bagi yang bersamanya hanya memikul liabiliti. Dari masa ke semasa, seteru politik akan menubi kelemahan yang dipaksa ke atasnya.

Jika dia hendak jadi perdana menteri, biarkan dia, justeru perlembagaan membenarkan setiap rakyat yang lahir di Malaysia berhak bercita-cita menjadi perdana menteri, dan perlembagaan juga tidak melarang setiap lelaki ingin kahwin dengan Siti Nurhaliza sekalipun yang dapat mengahwininya hanya seorang saja.

Saya mahu bersama Anwar bukan sekadar keinginan jadi perdana menteri saja tetapi dia mampu mengembeleng tenaga dan pengaruh bagi meruntuhkan belenggu kezaliman dan penindasan golongan lintah darat sejak merdeka.

Kata Ustaz Fadzil Noor, Umno sudah jadi khurafat dan ia perlu diruntuhkan. Saya termakan dengan mantiknya, justeru khurafat boleh membelenggu kepercayaan rakyat dan selagi ia tidak dirunuhkan, maka sekalian terus menerus dibelenggu khurafat itu.

Kerana Umno yang menindas itu tidak dapat diruntuhkan, bukan saja sekalian jadi pencarum khurafat, maka banyaklah kerosakan berlaku di alam kita, pada politik, ekonomi, sosial, akhlak, akidah dan lain-lain. Jika dibenarkan mustakbirin ini berterusan, maka tiada jaminan masa depan negara dan generasi terkemudian.

Banyak yang sudah kita lakukan dan korbankan bagi menghalang semua keruntuhan, tetapi belumlah banyak yang dapat dibuat, bahkan belum nampak kezaliman dan penindasan itu dapat dicegah.

Harapan meruntuhkan monopoli mustakbirin khurafat BN ini hampir dapat dilakukan dengan kita dapat bersama Anwar Ibrahim. Anwar sendiri pun tidak dapat buat apa-apa. Kita saja pun belum dapat buat apa-apa juga, tetapi dengan kita bersama Anwar tembok besi Putrajaya itu sudah digoncang.

Ia sekadar belum diroboh tetapi sudah pernah digegar.

Hanya nasib belum memihak kepada perubahan. Kita telah saksikan, sekalipun Anwar itu dikatakan tampil dengan agenda peribadi, tetapi kita sendiri rasakan, tembok yang tidak dapat ditembusi lebih 50 tahun itu telah retak di sana sini dengan paduan tenaga bersamanya sekalipun dia ada mimpi lain.

Saya boleh terima Anwar masuk Umno dulu kerana hendak jadi perdana menteri. Dia hampir berjaya.

Jika ia semata-mata agenda peribadinya, dia setangga saja lagi, jika sanggup menangguk kepada perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad atas semua yang dimahunya seperti yang Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak buat, dia sudah dapat agenda peribadinya itu. Tetapi dia dibuang ketika dia pengerusi jawatankuasa kabinet anti-penyelewengan.

Kerana dia mengutamakan membersih penyelewengan semua orang yang bersamanya, maka mereka buang dia dulu sebelum dia buang mereka.

Dan jika agenda peribadi jadi keutamaannya, dia tahu kesaktian Umno bukanlah mudah untuk dileburkan.

Hanya melalui Umno saja kuasa dapat dicapai, itu jua fikiran khurafat, dia tidak cari jalan untuk masuk semula Umno seperti yang banyak orang sangka. Dia tubuh parti dan terus bersama pembangkang. Dia tahu selama lebih 50 tahun pembangkang tidak dapat tumbangkan kerajaan.

Mengapa dia mahu kekal bersasma pembangkang bagi melakukan perubahan?

Kita tahu Anwar ditawarkan jawatan besar dalam agensi PBB sebaik lulus universiti.

Dia tolak gaji empat angka dolar Amerika tetapi buka Yayasan Anda bergaji kecil. Perjuangan peribadi jarang menolak tawaran lumayan.

Orang balik Mesir, Jordan dan Madinah tak tolak jawatan mufti dan penasihat agama perdana menteri, tetapi Anwar plih kerja yang bergaji kecil.

Banyak yang tempelak Anwar utamakan diri dan peribadi, tetapi dia buat kerja yang memungkinkannya hidup di penjara lebih lama daripada duduk dalam kabinet. Orang yang berkokok itu buat apa?

Sedarkah tentang rasuah menjadi-jadi dan penyelewengan merata-rata, tapi lebih senang terima jawatan bergaji besar sedang rakyat menderita dan ditindas?

Saya sedar politik Anwar hari ini tidak sama dengan politiknya sebelum masuk politik itu. Pandangan Islam sudah berbeza. Tidak nampak ada persamaannya dengan apa yang PAS mahu dulu dan akan datang.

Tetapi kita mesti faham bahawa suasana selepas 50 tahun lebih negara di bawah politik zalim dan penindasan, tidak semua yang hendak buat ketika PAS ditubuhkan dulu, dapat dibuat.

Banyak yang tidak dapat dibina di samping ada banyak lagi yang dapat dibuat.

Kehadiran Anwar dalam Pakatan Rakyat memberi harapan menggantikan kerajaan yang ada dengan kerajaan yang kita sertai bersama Anwar nanti.

Walaupun kerajaan yang Anwar pimpin itu tidak dapat memberi sesmua apa yang PAS mahu, tetapi yang pertama, kita sama-sasma boleh runtuhkan mustakbirin. Sekalipun Anwar tidak penuhi semua yang PAS mahu, tetapi dia tentu tidak teruskan penindasan dan kezaliman seperti yang kerajaan mustakbirin buat sekarang.

Perjanjian kita dengan Anwar bukanlah ditentukan hingga kiamat. Sekali pun kita bercadang untuk bersama selama mungkin, tetapi kita boleh kaji dari masa ke semasa.

Kita boleh bersama selagi kita mahu dan selagi Anwar mahu. Jika Anwar jadi perdana menteri, belum tentu dia terima hudud yang PAS mahu.

Dia mungkin terima dam mungkin tawakuf, tetapi pada peringkat awal kerajaan itu akan bekerja siang malam bagi membasmi penyelewengan, membendung dan menghukum gejala rasuah, menegakkan keadilan dan paling utama, memastikan negara tidak muflis seperti Greece dan lain-lain.

Dan jika Anwar pula masa itu buat macam yang Umno, suatu yang malaikat simpangkan dengan izin Allah, maka kita berfikir pula pada ketika itu. Yang penting, khurafat Umno sudah dibersihkan.

Kiranya Umno ada lagi masa itu, ia tentunya Umno lain. Kita akan hadapi pula mana-mana pihak yang jadi macam Umno lagi.

Maka pada saya, ajaiblah kalau Anwar itu utamakan peribadi dan perjuangan ummah dengan sanggup duduk lama dan berkali-kali dalam penjara, berpisah dari muda hingga tua dengan isteri, anak- anak dan cucu.

Orang yang utamakan peribadi tidak sanggup tinggalkan cucu dan dalam usia warga emas itu, sanggup bermalam sendirian semasa sakit dan demam.

Mana orang penting diri sanggup mati dalam penjara. Saya tidak sanggup. Maka saya tidak boleh perkecilkan orang yang sanggup seperti Anwar.

Saya bangga dengannya, jika tiada lagi yang mahu kepadanya, biarlah saya seorang yang mahu dan ingat kepadanya.

Pengorbanannya membebaskan negara daripada penyelewengan dan penindasan akan dikenang selama-lamanya. – Detik Daily, 9 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.