Mujahid berjanji bantu Mat Sabu di Pulau Pinang

Malaysia bukan negara sekular, Islam dijamin Perlembagaan, kata PAS

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof (gambar) berjanji akan membantu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam menjalankan tanggungjawabnya memimpin PAS Pulau Pinang.

Mujahid yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang berkata, beliau akan menggunakan segala ilmu yang beliau ada untuk membantu Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan tidak akan lari daripada tanggungjawab itu.

PAS baru-baru ini mengumumkan pelantikan Mohamad sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang walaupun nama Mujahid disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan itu.

Dalam pembentukan kepimpinan negeri, Mujahid dipilih untuk menjadi timbalan kepada Mohamad.

Turut dilantik adalah bekas pesuruhjaya, Datuk Salleh Man sebagai Timbalan Pesuruhjaya II manakala seorang lagi timbalan pesuruhjaya masih belum dilantik.

Ketika Salleh menjadi pesuruhjaya, Mujahid turut dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya namun tokoh yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam pengurusan organisasi itu menolak jawatan itu.

"Setelah memikirkan kepentingan PAS di Pulau Pinang, saya akan membantu Mohamad sepenuhnya," kata Mujahid kepada The Malaysian Insider.

Mohamad pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sebelum Salleh namun beliau dilihat tidak berjaya dan melepaskan jawatan itu sebelum habis penggalnya.

Kelemahan ketara beliau ketika itu adalah kerana terlalu sibuk berceramah ke seluruh negara dan lemah dalam pengurusan organisasi.

Daripada pengalaman itulah Mujahid yakin beliau boleh membantu Mohamad kali ini dalam menguruskan PAS Pulau Pinang yang mempunyai pelbagai masalah itu.

Menjelang Muktamar PAS ke-59 baru-baru ini, PAS Pulau Pinang membuat satu sidang media yang memberikan kata dua kepada kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Tindakan ini telah mendapat kritikan pelbagai pihak, seolah-olah PAS tidak boleh berbincang dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bagi menghadapi fenomena ini, Mujahid memberikan tiga perkara utama yang akan menjadi fokus beliau untuk PAS Pulau Pinang.

"Pertama, saya akan membantu PAS memperkukuhkan organisasi parti di peringkat negeri dengan memahamkan parti bahawa PAS adalah rakan kongsi kerajaan PR Pulau Pinang.

"Kedua, saya akan membantu memperkukuhkan para pemimpin parti yang memegang jawatan dalam organisasi kerajaan Pulau Pinang daripada ahli majlis kerajaan tempatan, ahli-ahli lembaga anak syarikat kerajaan negeri dan sebagainya.

"Ketiga, memberikan fokus kepada sasaran PAS Pulau Pinang iaitu Melayu Pulau Pinang itu sendiri. Kita perlu memberikan mereka harapan bahawa PAS mampu mengubah nasib mereka jika kita bekerjasama dan berusaha dengan baik," kata Mujahid.

Nasib Melayu Pulau Pinang menjadi sebutan pelbagai pihak sejak dahulu namun tidak ada sebarang usaha konkrit yang dibuat untuk mengeluarkan mereka daripada keadaan sedia ada.

Akibatnya, sebahagian mereka bersifat pemberontak dan sentiasa kesal dengan layanan ke atas mereka.

"Saya akan memberikan tumpuan kepada mereka sebagai salah satu fokus gerak kerja saya di Pulau Pinang kali ini," kata Mujahid, anak bekas presiden dan Mursyidul Am PAS, Yusof Rawa. – 30 Disember, 2013.