Warkah buat sahabat – Hisyam Ahmad

Kehadapan sahabatku yang tidak pernah luput dari rakaman memori ini, saudara Hakim bin Halim, apa khabar dirimu di sana. Semoga dirimu berada dalam keadaan sihat wal afiat sentiasa, serta dipayungi rahmat Sang Pencipta selalu.

Pada kiraanku, sudah hampir sepuluh tahun kita tidak bersua muka, bergelak tawa bersama, menangis sendu berdua. Namun, aku yakin dengan kemajuan teknologi yang berlegar disekitar, jarak itu tidak sekali-kali menjadi alasan untuk kita terus bersahabat.

Masihkah engkau ingat, pada tahun 2005 yang lalu, tahun yang menjadi saksi aku mula menginjak kaki ke alam tarbiyah ini, saat yang cukup mengubah diriku, dari seorang anak muda yang hanyut dalam arus dunia, aku mula berubah menjadi seorang yang punyai matlamat dalam hidup. Kenal apa itu dakwah, apa itu perjuangan, apa itu Jemaah. Semua ini melalui tangan kamu, tangan yang memimpinku ke tahap ini. Sungguh aku menghargai semua ini.

Kamu tidak pernah berputus asa dengan kedegilan yang ada pada diriku, kamu juga tidak pernah mengalah dengan sikap beralasan ku setiap kali aku mengelakkan diri dari menghadiri usrah dan progam tarbiyah. Bahkan kedegilan akulah yang akhirnya tunduk pada kesungguhan dan keikhlasan mu itu.

Sahabatku Hakim,

Percayalah, aku tidak pernah menjauhkan diri dari mu, kerana bagi ku, dirimu itu sudah ku anggap sebagai mentor. Selain mempunyai sifat kecekalan dan kesungguhan yang tinggi, dirimu juga terkenal dengan idea-idea yang besar, berfikiran terbuka, pandang jauh, otak kritis, ahh.. mungkin kalau mahu disenaraikan satu persatu kelebihan yang ada pada mu, helaian warkah ini bakal mencecah puluhan helai, mungkin ratusan helai, kerana dirimu itu terlalu banyak kelebihan untuk aku contohi. Bahkan, sehingga sekarang, idea-idea mu terus aku ikuti melalui status-status bernas mu di dinding muka buku yang biru itu.

Antara peganganmu yang sehingga kini terpasak di jiwa ini adalah dalam menguruskan berita-berita yang tiada di ketahui sumbernya. Aku masih ingat, begitu lantang kamu menemplak sahabat perjuangan kita yang terlalu mudah untuk mempercayai khabar angin berkenaan pimpinan dan Jemaah kita.

“Fatabayyanu! Fatabayyanu! Fatabayyanu!”

Ya, cukup tegas kamu mengulang kalimah ini. Katamu, bukanlah sifat orang muslim yang sejati apakala menerima berita tanpa jelas sumbernya, terus mempercayai dan mengimaninya. Sejurusnya kamu akan membaca firman Allah dalam mengukuhkan lagi prinsip hidupmu itu.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini , dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) , sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Al-Hujurat 6]

Hakim, sahabatku yang dikasihi.

Aku juga sungguh terharu, bila teringat kembali saat di mana semua orang mula melabelkan aku dengan labelan yang sungguh menyakitkan telinga, hanya kerana aku berpakaian tidak seperti sahabat perjuangan kita yang lain. Pakaian yang bagi mereka hanya sepadan dengan golongan liar dan tiada masa hadapan di luar sana.

Saat itu, kamu cukup marah. Marah dengan sikap sahabat kita yang suka melabel orang yang tidak sealiran dengan mereka, walau orang itu datangnya dari Jemaah yang sama. Ya, akulah orang itu. Pada ketika itu, diriku cukup terubat, terubat dengan sikapmu yang begitu terbuka dalam bermasyarakat. Matang dalam menguruskan perbezaan sesama kita. Tidak mudah melabel mereka yang tidak sealiran, terutama dalam Jemaah yang sama.

Namun benarlah, dunia ini tidak selalu indah. Hati itu sifatnya berubah-ubah, dan itulah yang aku mulai perasaan pada dirimu. Kamu kini bukanlah Hakim yang ku kenal dulu. Ya, kamu mesti tertanya-tanya, mengapa aku berkata sedemikian, sedangkan kamu masih lagi memakai nama Hakim bin Halim.

Ketahuilah, bukan kerana perbezaan nama aku mengatakan kamu berubah. Namun maksudku, sikap dan perangaimu tidak lagi seperti yang kukenali dahulu, yang banyak mencorak dan menjadi tauladan kepada diriku.

Beberapa minggu lepas, aku sungguh terkejut membaca status yang muncul pada dinding muka bukumu. Statusmu kini tidak lagi seperti dahulu, yang cukup kaya dengan nilai ilmu, sarat dengan lontaran idea besar, yang kalau siapa sahaja membaca status muka buku mu, pasti otak mereka akan di paksa berfikir, untuk memahami idea segar dan besar yang kamu lontarkan itu.

Tapi kini, semua itu tiada lagi, yang ada hanya ayat-ayat sindiran, sarkastik, malahan kadangkala menghina dan merendah-rendahkan mereka yang tidak selari dengan nafsu dan kehendak kamu.

Kalau dulu, kunjunganku ke dinding muka bukumu sangat melapangkan dadaku, mencerna mindaku, menajamkan akalku. Adapun kini, semua itu tidak lagi berlaku, yang ada hanya sesak jiwa, bahkan sesekali muncul bibit-bibit kebencian dan kemarahan kepada kamu. Sehinggakan terfikir dalam benak ini untuk membuang kamu dari senarai sahabat muka bukuku.

Bukankah dulu kamu kata Nabi Muhammad saw itu idola kamu, ikutan kamu. Namun belum pernah aku jumpai secebis kisah baginda melayan orang kafir dengan ayat penuh sindiran mahupun penghinaan, apatah lagi kepada sahabat-sahabatnya. Adapun yang aku jumpai hanyalah sebaliknya, Bagindalah yang seringkali dihina dan dicerca oleh orang kafir.

Sahabatku Hakim,

Aku juga sedar, kamu kini begitu mudah untuk memberi label buat sahabat-sahabat yang tidak sekapal dengan kamu. Sehingga kekadang menimbulkan persoalan dalam diri ini, benarkah ini Hakim yang aku kenali dahulu, cukup tegas membanteras budaya label melabel yang berlaku dalam Jemaah kita.

Ya, aku bukanlah orang yang lama dalam perjuangan ini, lagikan untuk di bandingkan dengan dirimu, apalagi kamulah yang memperkenalkan aku dengan dunia tarbiyah ini.

Mungkin langit dan bumilah perumapamaan yang sesuai di gunakan bagi melambangkan pengalaman dan penglibatan kita berdua dalam dunia ini. Atas kesedaran itu, aku tahu, tidaklah aku ini mempunyai kelayakan untuk menegur dirimu. Akan tetapi, atas dasar kecintaan sesama saudara, aku coretkan juga warkah ini.

Kalaupun aku gagal untuk menarikmu kelandasan yang sepatutnya, paling kurang aku sudah mempunyai alasan ketika mana berhadapan dengan Allah di akhirat nanti.

Sungguh, aku sungguh merindui Hakim bin Halim yang aku kenali dahulu. – 6 Mac, 2015.

*Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.