Almy Nadia kecewa majlis kahwin dipertikai rakan artis

Almy Nadia kecewa majlis kahwin dipertikai rakan artis

25 Jun – Aktres jelita Almy Nadia menyuarakan rasa kecewanya apabila terdapat segelintir artis yang mempertikaikan majlis perkahwinannya dengan aktor Fizz Fairuz yang dibuat di kampung halamannya dan bukannya di Kuala Lumpur.

"Memang dari awal saya tidak bercadang untuk buat majlis di Kuala Lumpur dan tidak sangka pula ada yang mempersoalkan perkara itu.

"Saya jemput semua orang yang saya kenal tetapi ada antara mereka tidak hadir kerana alasan jauh dan sebagainya," katanya kepada mStar.

Terdahulu, Almy dan Fizz telah mengadakan dua majlis resepsi perkahwinan mereka iaitu di Pulau Pinang dan di Raub, Pahang.

Dalam perkembangan lain, Almy berkata, dia akan mengurangkan aktiviti seninya bagi menumpukan perhatiannya kepada rumah tangganya dan perniagaanya ketika bulan Ramadan ini.

"Bulan Ramadan ini saya akan berniaga biskut raya di Menara Mara bermula pada hari pertama puasa.

"Sekarang ini saya sibuk menyiapkan biskut berkenaan untuk dijual nanti dan berharap ia akan mendapat sambutan daripada pelanggan."