Alyah tolak undangan ceramah agama

Alyah tolak undangan ceramah agama

14 Feb – Selepas bertudung sekembalinya daripada umrah pada April 2013, penyanyi Alyah memberitahu dia telah menerima banyak jemputan ceramah agama tetapi terpaksa menolak kerana bimbang akan timbul tafsiran negatif yang mungkin menjejaskan imej dirinya.

"Saya dapat banyak tawaran untuk berceramah tetapi saya terpaksa tolak dengan baik. Saya mengaku ilmu agama saya masih cetek dan tidak wajar untuk saya bercerita hal-hal agama yang mungkin nanti akan menyebabkan banyak salah faham," ujarnya seperti dipetik daripada laporan mStar.

Menafikan penghijrahannya sebagai mengikut satu ikutan gaya wanita Muslimah, Alyah menjelaskan ia adalah salah satu peringkat buatnya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Alyah, 33, juga memberitahu ada pihak yang menjemputnya bercakap mengenai perubahan diri di atas pentas politik.

"Kalau nak suruh saya bercakap soal kerjaya dan bagaimana untuk memperbaiki imej, insyaAllah saya boleh tetapi kalau sentuh bab-bab politik, saya terpaksa tolak. Itu bukan cara saya," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Alyah bakal muncul dengan lagu single terbaru berjudul "Sesal Separuh Nyawa".