Bicara kes fitnah bekas MB Perak bermula 12 Januari

Bekas MB Perak didakwa semula atas pertuduhan fitnah Najib

Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan lima hari bermula 12 Jan tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes fitnah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dua tahun lepas.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Madihah Harullah menetapkan tarikh itu selepas persetujuan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memberitahu mahkamah, pihaknya belum menerima notis bantahan awal daripada pihak pembelaan yang diketuai peguam Datuk Yusof Mohd Zainal Abidin.

Bagaimanapun Yusof memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat salah faham berhubung perkara tersebut, dan pihaknya belum memutuskan sama ada akan memfailkan bantahan awal atau sebaliknya.

Sekiranya bantahan awal difailkan, masa mencukupi akan diberikan kepada pihak pendakwaan, katanya.

"Kami akan memaklumkan mahkamah dalam satu atau dua minggu sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Selain itu peguam Hatim Musa memohon gambar berwarna dibekalkan kepada pihak pembelaan memandangkan pihaknya hanya mempunyai sedikit gambar berwarna selainnya adalah gambar hitam putih.

Nizar, 57, yang beralamat di Sungai Rokam dituduh memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nizar diwakili 13 peguam yang diketuai Yusof, manakala pihak pendakwaan diwakili Masri, yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab. – Bernama, 28 Oktober, 2014.