Faizul Sany rancang buat showcase solo

Faizul Sany rancang buat showcase solo

13 Jan – Bekas juara program realiti "Akademi Fantasia 2013" (AF 2013), Faizul Sany memberitahu bahawa dia mempunyai perancangan untuk mengadakan showcase solonya untuk mempromosikan albumnya yang berjudul "Faizul Sany".

"Sekarang ini saya dalam perancangan untuk mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan untuk mengadakan showcase saya sendiri di Sabah dan Sarawak bagi mempromosikan album saya iaitu "Faizul Sany".

"Bagaimanapun ia belum pasti lagi dan masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan Astro," katanya yang ditemui pada majlis sidang media "Hafiz & Friends Showcase" di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Faizul, dia memilih Sabah dan Sarawak sebagai lokasi untuk showcase adalah kerana kurangnya promosi albumnya di sana berbanding di Semenanjung.

"Saya memilih untuk mengadakan showcase di sana adalah kerana album saya banyak dijual di sini (Semenanjung) dan saya juga banyak membuat persembahan pentas di sini, jadi untuk di Sabah dan Sarawak saya kurang mendapat liputan.

"Oleh kerana itu saya memilih untuk mengadakan showcase di sana bagi mempromosikan album saya ini."

Dalam perkembangan lain, Faizul bakal membuat persembahan dalam showcase Hafiz & Friends yang bakal berlangsung di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada 18 Januari ini.

Selain Faizul dan Hafiz Suip, Akim & The Majestret, Hazama dan Airil turut akan memeriahkan showcase itu nanti.