Filem "The Raid 2" diharamkan di Malaysia

Azizah Saleh
Filem "The Raid 2" diharamkan di Malaysia

3 Apr – Filem aksi "The Raid 2: Berandal" yang mendapat sentuhan kreatif pengarah Gareth Evans ini telah diharamkan oleh kerajaan untuk ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Bagaimanapun tindakan kerajaan Malaysia mengharamkan filem tersebut telah menimbulkan ketidak puasan hati calon presiden Indonesia bagi Pemilihan Umum (Pemilu) 2014 yang diwakili oleh Pramono Edhie Wibowo itu menuntut penjelasan Malaysia di atas pengharaman filem sekuel tersebut.

"Saya berasa sangat kecewa kerana pihak berkuasa Malaysia tidak memberikan alasan yang kukuh untuk tidak membenarkan filem ini ditontonkan di Malaysia," jelasnya ketika berucap di Konvensyen Calon Presiden parti Demokrat di Jakarta yang dipetik dari Bernama.

Beliau turut menambah bahawa filem yang dibintangi Iko Uwais sebagai teraju utama ini sepatutnya diberi perhatian sebagai tanda sokongan dan kebangkitan industri kreatif dan filem di Asia.

Sementara itu, filem yang sepatutnya menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 27 Mac lalu telah pun ditayangkan di pawagam Indonesia dan Amerika Syarikat dan menerima pujian daripada pengkritik filem khususnya ketika berlangsungnya Sundance Festival 2014.

Oleh itu, Pramono berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik demi hubungan diplomatik yang terjalin sekian lama di antara Indonesia dan Malaysia.