Konsert Dayang Nurfaizah & Marcell 29 Mac ini

Konsert Dayang Nurfaizah & Marcell 29 Mac ini

12 Mac – Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah bakal mengadakan konsertnya bersama penyanyi popular Indonesia, Marcell pada 29 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pada konsert "Pesona Cinta" itu nanti, Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty bakal menyampaikan sebanyak 16 buah lagu termasuk beberapa lagu duetnya bersama Marcell.

Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu lagi, dia mahu menjadikan konsert ini sebagai landasan untuk dirinya membuat persiapan dalam membuat konsert solo.

"Saya memang nak buat tapi banyak sangat rintangan dan halangan terutamanya daripada segi penaja.

"Selalunya mereka akan gandingkan saya dengan mana-mana artis lain, ia mungkin juga kerana mereka kurang yakin dengan kemampuan saya untuk tarik penonton," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Dayang mengakui dirinya agak cerewet dan selektif dalam memilih pasangan duet dalam sesebuah lagu atau persembahannya.

"Sukar sebenarnya untuk mencari pasangan duet kerana kebanyakkannya kurang sesuai dan serasi dengan suara saya. Bila tidak serasi penyampaian akan menjadi tidak sepenuh jiwa dan ia akan mengecewakan peminat.

"Oleh itu juga saya sangat menitik beratkan soal ini dan mengkaji dahulu artis yang ingin digandingkan dengan saya."

Tambah Dayang lagi, dia lebih selesa berduet dengan pasangan yang pernah berduet dengannya seperti Anuar Zain, Marcell dan Datuk Ramli Sarip.

Sementara itu, tiket konsert yang dianjurkan oleh Jag Events dijual dengan harga RM150, RM250, RM350, RM450, RM 550 boleh didapati di laman web www.Jagtikets.com.