Lima band terbaik nusantara 2014!

Lima band terbaik nusantara 2014!

26 Okt – Anugerah Planet Muzik (APM) 2014 sudah pun melabuhkan tirainya pada minggu lalu dan sekalung tahniah TUPAI ucapkan pada para pemenang.

Acara yang dihoskan oleh Nabil Ahmad, Sarah Sechan dan Dyn Norahim ini telah berlangsung pada 17 Oktober lalu di Suntec, Singapura dan turut disaksikan secara langsung di hadapan lebih 3,500 penonton.

Penganjuran anugerah berprestij yang menggabungkan industri muzik Melayu dari Malaysia, Indonesia dan Singapura ini telah mengiktiraf bakat-bakat hebat semenjak tahun 2001 lagi.

Antara selebriti tanah air yang berjaya merangkul trofi bagi anugerah masing-masing adalah Dato' Siti Nurhaliza, Fynn Jamal dan juga lagenda rock negara yang tidak asing lagi iaitu Wings.

Sebanyak 19 kategori telah dipertandingkan dan salah satu daripadanya adalah Band Terbaik yang terdiri daripada beberapa buah kumpulan muzik hebat nusantara seperti:

Aryan Band
Bersandarkan pada kekuatan lagu berjudul "Tanpamu" hasil ciptaan kumpulan ini sendiri telah menjadikan mereka antara band terbaik di APM pada tahun ini.

Band yang berasal dari Singapura ini telah mula ditubuhkan pada empat tahun yang lalu sebelum bakat mereka mendapat perhatian pengasas Luncai Emas yang juga komposer terkenal tanah air Datuk M. Nasir untuk melamar mereka sebagai artis rakaman.

Kumpulan ini dianggotai oleh Farid sebagai vokalis utama, Aryan Sani (gitar), Nash (gitar), Reno (piano), Joey (bass) dan juga Mie (drum).

Mempertaruhkan konsep muzik rock alternatif dalam kebanyakan karya mereka, Aryan Band mula dikenali apabila merakamkan semula lagu tema filem "Azura" pada tahun 2011 bersama penyanyi Ikhsan Ace.

Bunkface
Band yang dianggotai oleh Sam, Youk, Paan dan Ejam Coda ini merupakan sebuah kumpulan punk rock yang diasaskan di Klang, Selangor sekitar tahun 2005.

Bersama bekas anggota asal mereka iaitu Biak, empat sekawan yang pernah bersekolah di SMK Sri Andalas ini sering mengadakan sesi 'jamming' dan berjaya muncul sebagai juara di pertandingan Band Rakan Seni Budaya anjuran Universiti Malaya pada 2006.

Populariti kumpulan ini mulai meningkat melalui lagu hebat mereka iaitu "Situasi" dan "Silly Lily" yang mendapat perhatian peminat sehingga menggelarkan mereka sebagai 'Bunker'.

Kumpulan ini juga pernah mengharumkan negara apabila meraih tempat ketiga di Festival Muzik Asia yang telah diadakan di Hong Kong pada 2011.

Kini, nama band ini boleh dianggap setaraf band terbaik yang lain apabila berjaya menduduki tangga lima teratas dengan lagu "Rentak Laguku" hasil kolaborasi bersama lagenda terbaik tempatan Amy Search.

Hyper Act
Band yang dahulunya tidak kenali, kini berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai band terbaik di arena muzik tempatan mahupun nusantara.

Nama Hyper Act tidak asing lagi di dalam industri muzik tanah air apabila muncul dengan lagu berjudul "Harapan" pada tahun 2012 sehingga menjadi sebutan di kalangan peminat termasuk selebriti tempatan.

Berasal dari Johor Bharu, band ini menampilkan lima anggota yang berusia sekitar 27 hingga 39 tahun dan mereka adalah Toi selaku pemain bass dan vokal kedua, Roney (vokal), Freddy (gitar), Etan (gitar kedua) dan Labib (dram).

Permulaan tahun ini menjadi saksi kegemilangan Hyper Act apabila berjaya menduduki tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-28 menerusi lagu berjudul "Hanya Aku" ciptaan mereka sendiri bersama Frozen sebagai penulis lirik.

Noah
Tahniah diucapkan kepada band ini kerana berjaya menjulang trofi Band Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2014 baru-baru ini.

Umum mengetahui bahawasanya band Noah ini dahulunya dikenali sebagai kumpulan muzik yang sudah mempunyai nama mereka sendiri dan popular iaitu Peterpan.

Band yang dianggotai oleh Ariel, Uki, Lukman, David dan Reza ini memilih nama Noah sebagai semangat baru mereka untuk kembali menggegarkan arena muzik Indonesia dan nusantara.

Bermula dengan kejayaan single "Mungkin Nanti" semasa mereka dikenal sebagai Peterpan, kini Noah masih unggul diterima para peminatnya apabila berjaya dinobatkan sebagai Artis Paling Popular di APM 2014!

Tujuhband
Kumpulan yang memulakan perjalanan mereka sebagai Tujuhband ini sebenarnya sudah bertapak semenjak tahun 2007 lagi.

Walaupun agak kurang dikenali ramai, namun band ini berjaya tercalon sebagai lima teratas di dalam kategori Band Terbaik di APM 2014 baru-baru ini.

Menampilkan lima anak muda yang memperjuangkan irama pop rock, Tujuhband dibarisi oleh Irwan Azly sebagai vokalis utama, Nelson Tan (bass), Ashri Zainal (dram), Faizan Rais (gitar), Ariffin Omar (percussion) dan Shamil Haniff (gitar).

Band yang berasal dari Singapura ini popular dengan lagu berjudul "Suara Kita" yang dicipta oleh anggota kumpulan mereka sendiri.