Lima individu disiasat sebar klip video Zamani Slam

Lima individu disiasat sebar klip video Zamani Slam

23 Jan – Lima individu termasuk seorang wanita disoal siasat, berhubung dengan penyebaran klip video penyanyi Zamani Slam yang ditahan polis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, semalam.

Difahamkan suspek yang terlibat membabitkan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik dan sebanyak 40 telefon bimbit telah dirampas untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah, berkata, melalui siasatan awal, pihaknya berjaya mengenal pasti identiti anggota polis yang terlibat dan penyebaran yang dilakukan menerusi aplikasi WhatsAp semalam.

"Polis sudah mengenal pasti anggota yang bertanggungjawab merakam dan menyebarkan video berkenaan. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti pegawai serta anggota lain yang terbabit sama."

"Pihak polis memandang serius perbuatan berkenaan dan kertas siasatan akan disiapkan secepat mungkin untuk dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya."ujarnya seperti dipetik daripada Harian Metro.

Pihaknya juga memberi jaminan bahawa siasatan telus akan dijalankan dan tidak akan melindungi sesiapa.

Sementara itu, pengurus Zamani, Johan Aziz ,berkata, dia tidak akan berdiam diri dan sudah menyerahkan perkara tersebut kepada peguam untuk tindakan lanjut kerana video berkenaan mengaibkan penyanyi tersebut.

"Itu perbuatan mengaibkan dan tidak bertanggungjawab langsung. Pihak pengurusan akan ambil tindakan terhadap pihak terbabit."

"Memang saya takkan berdiam diri. Saya sudah berbincang dengan peguam dan minta dia jalankan tugas untuk meneliti perkara ini."

"Kalau dapat dibuktikan perkara itu, kita akan teruskan dan ambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan,"katanya.

Video berdurasi 1 minit 23 saat itu menjadi viral selepas dimuat naik di laman Facebook yang menyiarkan penyanyi lelaki berkenaan dipaksa menyanyikan lagu popularnya dalam keadaan bergari.