Mizz Nina: Saya tidak layak beri ceramah agama

Mizz Nina: Saya tidak layak beri ceramah agama

5 Feb – Penyanyi Mizz Nina memberitahu, dia merasakan tidak layak untuk memberi ceramah berkaitan hal agama kerana dia masih lagi belajar untuk mendalami agama Islam.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, berkata, sejak dia melakukan perubahan untuk berhijrah setahun lalu, dia banyak menerima undangan untuk mengadakan ceramah, namun dia tidak bersedia ke arah itu lagi.

"Sejak berpenampilan menutup aurat setahun lalu, saya banyak terima undangan mengadakan ceramah di majlis-majlis agama.

"Saya terpaksa tolak kerana saya tidak layak untuk bercakap soal agama dan masih lagi belajar mendalami agama Islam, melainkan ia hanya sekadar berkongsi pengalaman berhijrah, " ujarnya seperti dipetik daripada mStar.

Sementara itu, Mizz Nina berkata, dia kini menyambung pengajian di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat untuk lebih mendalami Islam.

"Sekarang saya banyak habiskan masa belajar di tempat yang sama dengan Natasha Hudson iaitu di Institut Arees.

"Selain itu juga, jika ada kelas agama berkaitan mengaji Al-Quran dan tajwid saya akan sertai."

Dalam perkembangan lain, Mizz Nina dan suaminya Noh Salleh kini dilantik sebagai duta kempen "Cantik Di Mata" yang bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai menutup aurat.

Kempen yang akan bermula pada 14 Februari ini, merupakan anjuran Badan Bukan Kerajaan Islamic Aid Malaysia (AID) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) .

Mizz Nina yang mengulas mengenai kempen tersebut berkata, dia menganggap aktiviti tersebut juga sebagai salah satu cara dia berdakwah dan memberi inspirasi kepada orang ramai melalui penampilannya.

"Saya ditawarkan sejak sebulan lalu dan saya terima kerana ia sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini.

"Tugas saya ialah untuk beri inspirasi kepada masyarakat tentang kehidupan disebalik berpenampilan tersebut," ujarnya.

[Sumber Foto: Instagram Mizz Nina]