MyWatch tidak berkesan dorong penubuhan NGO lain, kata Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mengakui badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch yang dinaunginya dahulu tidak berkesan menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan NGO baru iaitu Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).
Beliau berkata, MyWatch tidak pernah membabitkannya dalam mesyuarat dan pembabitannya dalam NGO berkenaan hanya sebagai penaung yang bertujuan memberi nasihat mengenai perjalanan MyWatch.
"Saya minta untuk mengadakan mesyuarat dengan ahli tetapi sampai akhirnya tiada satu pun mesyuarat yang diadakan.
"Saya melihat keganjilan dalam perjalanan MyWatch namun saya tidak menyalahkan sesiapa dalam NGO itu.
"Penubuhan NGO baru iaitu Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) yang dipengerusikan saya ditubuhkan pada April lalu bagi membantu polis dan anggota keselamatan dalam menangani jenayah," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Bekas Ketua Polis Negara itu berkata antara objektif penubuhan MCCC adalah memberi penerangan kepada komuniti dan pelajar dalam mencegah jenayah, membantu mangsa jenayah dengan khidmat kaunseling, menganjurkan seminar kesedaran pencegahan jenayah, memantau pendatang asing dalam jenayah, membantu banduan menjalani kehidupan baru serta mecegah jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak.
Katanya, NGO yang baru ditubuhkannya itu menggunakan dana sendiri dan masih belum mendapat bantuan kerajaan sambil menjelaskan idea penubuhan MCCC adalah hasil ilham rakan-rakan yang datang ke rumahnya pada Mac lalu.
"Kami terdiri daripada ahli perniagaan, kakitangan profesional, peguam, kaunselor, bekas polis dan tentera. Pelancaran MCCC pada pertengahan bulan depan dan bilangan ahli akan ditambah dari masa ke semasa.
"Kami akan memeriksa latar belakang ahli supaya mereka bukanlah terdiri daripada penjenayah dan ini dapat dilakukan dengan kerjasama dengan polis dan Kementerian Dalam Negeri.
"Dengan tertubuhnya MCCC, akan membantu orang ramai bagaimana jika berdepan dengan situasi jenayah selain mempromosikan teknologi terkini dalam membanteras jenayah," katanya.
AES
Sementara itu, beliau tidak bersetuju jika Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) hanya digunakan untuk membolehkan polis mengeluarkan saman trafik tetapi perlu diperluas sebagai mekanisme menangani jenayah.
Katanya, adalah satu kerugian jika AES digunakan bagi tujuan tersebut sahaja kerana peranti itu dilengkapi dengan teknologi definisi tinggi yang membolehkan kegiatan jenayah dibanteras.
Dalam sidang media itu juga, Musa menggesa pasukan polis meningkatkan imej dan kepercayaan masyarakat supaya menjadi satu badan yang disegani.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu membetulkan diri mereka terlebih dahulu, meningkatkan integriti, ketelusan dan lebih bersikap terbuka.
"Polis juga perlu giat bekerjasama dengan agensi lain agar jenayah lebih mudah dibanteras. Jika polis kuat dan cekap, penjenayah takut," katanya.
Naib Pengerusi MCCC yang juga bekas Setiausaha Agung MyWatch V. Ravindran mendedahkan NGO yang dipengerusikan oleh R. Sanjeevan itu tidak mempunyai ahli malah pembongkaran Sanjeevan terhadap aktiviti jenayah hanyalah satu usaha mendapatkan publisiti media.
Katanya, selama dalam NGO itu, hanya dua sidang media pernah diadakan dan mendedahkan Musa bukanlah penaung MyWatch yang berdaftar dengan RoS.
"Saya memberitahu Tan Sri Musa tidak perlu letak jawatan kerana namanya tidak didaftarkan bersama Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Sanjeevan sering berdolak-dalih apabila bertanya tentang jumlah ahli," katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau turut menggesa pemilik perniagaan yang sering diganggu oleh ahli kumpulan kongsi gelap agar tampil membuat laporan kepada MCCC supaya masalah itu dapat dibanteras segera.– 19 September, 2013.