"Cuak" lima orang pengarah

"Cuak" lima orang pengarah

21 Feb – "Cuak" adalah sebuah filem bukan aliran perdana tempatan yang telah ditayangkan di pawagam bermula 14 Februari lalu.

Dihasilkan oleh lima pengarah iaitu Khairil M. Bahar, Lim Benji, Manesh Nesaratnam, Shamaine Othman dan Tony Pietra, "Cuak" mengisahkan seorang jejaka yang ragu-ragu untuk berkahwin dengan teman wanitanya.

Tupai telah bertemu dengan Khairil M. Bahar dan beliau sempat berkongsi pengalamannya dalam menghasilkan "Cuak".

Hai Khairil! Pertama sekali, tahniah dengan penghasilan filem "Cuak". Boleh ceritakan bagaimana anda semua mendapat idea untuk menghasilkan filem ini?
Hai! Terima kasih. Sebelum kami memberi idea untuk plot filem ini, kami akan lihat apa yang ingin difokuskan terlebih dahulu. Pelbagai idea berbeza telah diberikan dan selepas memberi pendapat masing-masing serta berbincang, kami membuat keputusan untuk menampilkan kisah tentang seorang lelaki yang bakal berkahwin dengan kekasihnya.

Anda tidak risau sekiranya "Cuak" kekurangan nilai komersial untuk menerima sambutan baik daripada peminat?
Sebenarnya itu adalah salah satu perkara yang kami risaukan. Setiap penerbit akan berasa begitu. Namun pada masa yang sama, kami semua merasakan apa yang kami perlu bimbang adalah bagaimana untuk menghasilkan sebuah filem yang bagus dan mencari barisan pelakon yang boleh memberikan persembahan terbaik dalam filem ini.

Bercerita tentang barisan pelakon, anda mengambil risiko dengan mengambil beberapa pelakon yang kurang dikenali. Mengapa begitu?
Bajet untuk filem kami tidaklah setinggi seperti filem-filem yang lain. Oleh itu kami mengambil risiko dengan barisan pelakon ini. Namun seperti yang anda dapat lihat, kebanyakan pelakon filem "Cuak" mempunyai pengalaman dan pernah terlibat dalam pementasan teater di Malaysia. Kami berharap kami dapat memperkenalkan mereka kepada umum.

Terdapat beberapa dialog dalam filem ini telah ditapis. Adakah penapisan tersebut memberi kesan kepada perjalanan filem ini?
Apa yang saya boleh katakan, dialog yang telah ditapis itu agak sensitif. Walaubagaimanapun penapisan tersebut sedikit pun tidak mengganggu perjalanan cerita. Jika difikirkan, kami agak bertuah kerana tidak banyak yang ditapis.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda. Selamat berjaya!
Sama-sama!