Segerakan dasar cekap tenaga, jimat RM57 bilion, elak loji nuklear, kata PKR

PKR menyeru Putrajaya agar tidak lagi menangguhkan pelaksanaan dasar kecekapan tenaga bagi membolehkan penjimatan sebanyak RM57 bilion dan mengelak pembinaan loji nuklear.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) ketika di Dewan Rakyat pernah menjelaskan Putrajaya akan meluluskan dasar berkenaan pada hujung 2013, namun bulan lalu kementerian berkenaan hanya memberi komitmen yang tipis.

“Saya menyeru KeTTHA untuk tidak lagi menangguhkan mahupun memberi pelbagai alasan untuk membawa cadangan pelaksanaan program kecekapan tenaga untuk peringkat nasional kepada Kabinet untuk dipertimbangkan sejak tahun 2011.

“Jelas potensi kecekapan tenaga dapat menjimat tenaga serta menjimat kos dengan banyak dan wajib dikaji semula dengan keadaan negara sekarang berdepan dengan krisis kewangan dan kos sara hidup yang terus meruncing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah (gambar, kanan) berkata, KeTTHA pada Mac 2011 menerangkan pelaksanaan pelan induk kecekapan tenaga untuk tempoh 10 tahun dapat mengelakkan pembinaan janakuasa baharu sebanyak RM16.6 billion.

Katanya, ia juga dapat menjimatkan kos bahan api untuk penjanaan tenaga elektrik sebanyak RM22.8 billion untuk gas, serta RM1.4 billion untuk arang batu.

“Penjimatan (juga kepada) perbelanjaan kerajaan untuk kos subsidi gas sebanyak RM15.87 billion dengan jumlah penjimatan sebanyak RM56.67 billion,” katanya.

Beliau berkata, KeTTHA pada April 2013 membentangkan Pelan Induk Kecekapan Tenaga Nasional untuk menjimatkan penggunaan tenaga negara dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, pelan itu menyasarkan pengurangan penggunaan tenaga negara sebanyak 5.6% dan jumlah penjimatan kewangan yang boleh dicapai dari segi bil elektrik ialah sebanyak RM14.627 billion (secara purata RM1.46 billion setahun) berdasarkan tariff waktu itu.

“Pelan induk tersebut akan menumpukan kepada tiga sektor utama iaitu industri, bangunan dan kelengkapaan elektrik.

“Hanya sebanyak RM987 juta diperlukan dalam tempoh masa 10 tahun tersebut iaitu sebanyak RM98.7 juta setahun sahaja,” katanya.

Nurul Izzah berkata Thailand berjaya mengurangkan permintaan tenaga negara sebanyak lebih daripada 15% dalam tempoh 10 tahun yang lepas, manakala Jepun berjaya mengurangkan permintaan tenaga sebanyak lebih kurang 30% daripada tahun 1970-an dengan melaksanakan dasar kecekapan tenaga.

Katanya, negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Brunei sudah pun bergerak pantas dan sudah menikmati faedah ekonomi daripada program kecekapan tenaga nasional mereka.

“Saya tidak faham mengapa kita perlu mempertimbangkan penjanaan tenaga dari loji-loji janakuasa baharu mahupun rancangan pembinaan loji nuklear.

“Data-data dan laporan dari TNB, Electricity Supply Outlook menunjukkan bahawa permintaan sekarang dan juga unjuran sehingga tahun 2030 bahawa pengguna elektrik terbesar iaitu 80% datang dari sektor perindustrian dan bangunan komersial dan hanya 20% dari perumahan.

“Jelas dan nyata, subsidi sektor tenaga bukan kepada pengguna awam tetapi yang paling banyak menikmatinya adalah sektor industri dan komersil dalam perniagaan,” katanya. – 21 April, 2015.