Sudah bertahun, wanita Sarawak masih ingat cubaan licik tukar agama pelajar bukan Islam

Sekolah sentiasa pantau fahaman ekstremisme, kata Pengarah Pendidikan Selangor

Ketika Doris R membaca laporan mengenai pelajar Kristian dari Sabah dipaksa memakai tudung oleh pentadbiran sekolah rendahnya di Negeri Sembilan dan menyertai kumpulan nasyid, dia tersenyum sinis dan terkenang memori lama yang tidak mahu diingati.

“Perkara seumpama itu bukan benda baru. Cubaan untuk menukar agama murid bukan Islam di Sabah dan Sarawak (di sini) dan mereka yang belajar di semenanjung sudah berlaku bertahun-tahun lamanya,” kata Doris, 40, seorang ibu berketurunan Iban dari Kuching, Sarawak.

Membaca laporan The Malaysian Insider semalam berhubung murid 12 tahun dari Sabah yang juga dipaksa menyertai sesi sembahyang Islam mengingatkan Doris pengalamannya sendiri sebagai murid di SK Dato Haron di Tanjung Karang, Selangor dari 1985 hingga 1989.

Dia berada di sekolah itu kerana menjadi antara murid dalam program pertukaran pelajar di bawah Yayasan Sarawak.

Doris, yang tinggal di kawasan pedalaman Lubok Antu, kira-kira 150km dari Kuching, adalah seorang daripada 7 pelajar – 5 Dayak dan 2 Melayu – yang dihantar untuk menyambung pembelajaran sekolah menengah.

Program pertukaran itu mempunyai matlamat yang mulia – untuk mendedahkan pelajar bijak dan muda Sarawak kepada budaya serta kehidupan rakan sebaya mereka di semenanjung.

“Ia adalah pendedahan yang baik, tetapi tidak seperti apa yang kami mesti faham.

“Mereka yang ditempatkan di sekolah salah seperti saya dan 7 lagi ke SM Dato Haron, mereka akan mengalami apa yang gadis Sabah (di Negeri Sembilan) itu lalui,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Apabila kami, pelajar Sarawak, melaporkan diri di sekolah pada hari pertama, seorang pelajar Dayak di kelas lain diarahkan tanpa sebarang syarat dia tidak boleh memakai pinafor dan perlu memakai baju kurung.

“Bila dia bantah, guru perempuan itu menghentak meja dan menuding jari ke mukanya mengugut dan beritahu dia perlu buat seperti disuruh,” kata Doris.

Katanya, keadaan lebih teruk ketika bulan puasa.

“Kami yang bukan Muslim juga perlu bangun pada waktu Subuh untuk menyertai sahur, makanan terakhir sebelum matahari terbit.

“Kami tidak dipaksa. Tetapi jika kami tidak berbuat begitu, nanti kami tidak ada makanan untuk makan hingga buka puasa.

“Sekolah itu tidak menyediakan makanan untuk bukan Islam. Jadi bagi kami, saya ada makan pada waktu sahur atau berlapar sepanjang hari,” katanya.

Tetapi apa yang paling dia marah sepanjang 5 tahun berada di sekolah menengah itu ialah dia dipaksa duduk dalam kelas agama Islam.

“Saya seorang saja pelajar bukan Islam dalam kelas itu. Saya tidak dikecualikan daripada kelas dan tidak dibenarkan ke perpustakaan untuk keluar kelas.

“Sampai hari ini, saya masih ingat nama ustazah itu, Saodah Sulastri,” katanya, merujuk kepada guru agama itu.

“Sepanjang 2 tahun terakhir persekolahan, saya terpaksa mendengar dia memperkecilkan Kristian dalam kelas agama.

“Semakin kuat mereka cuba mempengaruhi kami untuk menukar agama, kami jadi makin keras,” katanya.

Doris berkata, dia meragui penafian guru besar dalam kes terbaru di Negeri Sembilan itu.

“Dia boleh nafi pelajar 12 tahun itu dipaksa memakai tudung atau kata dia menyertai kumpulan nasyid itu secara sukarela.

“Realitinya ialah, pelajar itu mungkin tidak ada pilihan,” kata Doris,

Guru besar sekolah itu, Yunus Ismail, ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata pelajar itu memakai tudung “secara rela” dan dia tidak dipaksa menyertai program nasyid.

Doris berkata, ketika dia dan pelajar Dayak lain ditanya jika mereka mahu menyambung Tingkatan 6 di Selangor, semua menolak tawaran itu.

“Salah satu mata pelajaran wajib ialah tamadun Islam. Kami tidak fikir mereka hendak cuba mengajar kami tentang sejarah Islam.

“Kami percaya ia adalah cara yang halus untuk mempengaruhi kami untuk menukar agama. Saya secara peribadi tidak ada bantahan untuk belajar sejarah Islam jika ia akademik,” katanya.

Doris pulang ke kampung halamannya dan menghabiskan pendidikan Tingkatan 6 di Bandar Sri Aman, sebuah bandar kira-kira 60km dari rumahnya. – 16 November, 2014.