Tanah runtuh punca ribuan penduduk Kiulu putus bekalan elektrik

Kejadian tanah runtuh di Kampung Rangalau, Kiulu, dekat sini, pada kira-kira 4.26 petang semalam mengakibatkan seluruh kawasan Kiulu terputus bekalan elektrik.

Menurut Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Ahmad Fuad Md Kasim, kejadian itu turut menyebabkan lebih 1,500 pengguna di kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik.

Katanya pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati sebatang tiang elektrik voltan tinggi milik SESB mengalami kerosakan.

Jumlah kerugian dan kerosakan akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Fuad berkata keadaan struktur tanah di kawasan sekitar yang masih tidak stabil turut menyukarkan kerja pemulihan bekalan elektrik untuk sebahagian besar kawasan Kiulu.

Bagaimanapun, beliau berkata bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat di beberapa kawasan bermula 5.50 petang pada hari yang sama.

Ahmad Fuad berkata para pengguna digalakkan segera menghubungi Hotline 24 jam SESB di talian 15454 ataupun 088-515000 sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik. Semua aduan yang disalurkan akan diambil tindakan segera. – Bernama, 15 Oktober, 2013.