Marina Mahathir terima anugerah daripada Universiti Terbuka Wawasan

Marina Mahathir terima anugerah daripada Universiti Terbuka Wawasan

Aktivis sosial dan penulis Datin Paduka Marina Mahathir (gambar) dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Terbuka Wawasan (WoU).

Beliau menerimanya sempena majlis konvokesyen kelima universiti tersebut di George Town hari ini yang disampaikan Canselornya Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dengan turut disaksikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon selaku Pro Canselor dan Naib Canselor Prof Datuk Dr Ho Sinn Chye.

Anugerah turut diberikan kepada Rektor Universiti Terbuka, Indonesia, Prof Tian Belawati.

Dalam ucapan penghargaannya, Marina menyifatkan ia sebagai penghargaan kepada beliau dan Tian yang merupakan penerima wanita pertama daripada universiti tersebut.

Ia membanggakan apabila WoU mengiktiraf kejayaan wanita dalam bidang mereka, katanya.

"Bagi diri saya, anugerah ini mempunyai pengertian khusus. Sebagai seorang yang hanya memiliki ijazah pertama dalam Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Sussex beberapa tahun lalu, saya berasa rendah hati untuk dipertimbangkan oleh institusi akademik bagi anugerah ini.

"Ia menggembirakan untuk mengetahui kekurangan taraf akademik saya tidak menjadi penghalang kepada pengiktirafan kerja-kerja yang saya lakukan selama 20 tahun dalam bidang hak asasi kemanusiaan terutama hak wanita berkaitan gender, kesihatan dan undang-undang," kata Marina.

Tian pula memberitahu pemberita beliau berasa penghormatan dengan penganugerahan anugerah tersebut.

Sejumlah 400 graduan menerima ijazah dalam konvokesyen selama dua hari itu. – Bernama, 29 November, 2014.