PKNS rai 32 anak yatim sempena Tahun Baru Cina

PKNS rai 32 anak yatim sempena Tahun Baru Cina

Seramai 32 kanak-kanak dan remaja dari Good Samaritan Home di Klang, Selangor diraikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Selain menerima angpau, rumah kebajikan itu turut menerima sumbangan wang tunai bagi membantu operasi pusat berkenaan yang menempatkan 16 penghuni lelaki dan 16 perempuan.

Acara menjelang sambutan Tahun Baru Cina itu turut dimeriahkan dengan persembahan silap mata daripada Ejik The Magic.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Jalinan Kasih PKNS itu dihadiri Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim.

Ishak berkata, program ini bertujuan membantu meringankan beban sekaligus menggembirakan penghuni rumah kebajikan itu yang kebanyakannya hidup tanpa kasih sayang ibu bapa sejak kecil.

“Kami juga berharap dapat memupuk nilai murni seperti keprihatinan dan kesyukuran di kalangan warga kerja PKNS dan masyarakat dengan penghuni rumah ini," katanya.

Majlis itu merupakan pembuka tirai bagi aktiviti CSR sempena sambutan ulang tahun ke-50 PKNS.

Program kunjungan mesra ini adalah antara beberapa siri program tahunan Jalinan Kasih PKNS yang akan menjelajah ke beberapa daerah bagi menghulurkan bantuan dan menjalankan kerja komuniti.

Sementara itu, Pengasas Good Samaritan Home Klang, Albert Ong, berkata penghuni rumah itu gembira dan teruja dengan kunjungan PKNS.

“Saya ucap terima kasih, kanak-kanak di sini sungguh gembira diraikan sempena Tahun Baru Cina," katanya.

Good Samaritan Home ditubuhkan pada Januari 1999 dan diuruskan oleh Ong bersama isterinya YM Ong.

Rumah ini beroperasi sebagai pusat jagaan yang memberi perlindungan, penjagaan dan pendidikan kepada kanak-kanak berumur 2 hingga 18 tahun. Ia merupakan rumah berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. – 31 Januari, 2014.