Aktivis anti-Lynas diusir menjelang lesen operasi sementara luput esok

Seorang aktivis kempen 'Stop Lynas' Natalie Lowrey yang berpangkalan di Sydney, Australia dihalang memasuki Malaysia malam tadi dan dihantar pulang selepas dimaklumkan dia di bawah senarai hitam polis.

Natalie Lowrey di klia2 di mana dia ditahan dan dilarang memasuki negara oleh pegawai imigresen dan polis. – Gambar Facebook, 1 September, 2014.
Natalie Lowrey di klia2 di mana dia ditahan dan dilarang memasuki negara oleh pegawai imigresen dan polis. – Gambar Facebook, 1 September, 2014.

Dua bulan lepas, aktivis alam sekitar tersebut berkempen menentang pembinaan kilang memproses nadir bumi di Kuantan, Pahang, dan ditahan polis selama enam hari dan dibebaskan pada 27 Jun tanpa didakwa.

Menurut kenyataan pergerakan 'Stop Lynas' Australia, tiada alasan diberikan atas halangan memasuki Malaysia itu.

Katanya, sebaik tiba di klia2, Lowrey ditahan pihak imigresen yang memberitahunya dia disenaraihitam Bukit Aman dan akan dihantar pulang.

Dia kemudiannya diterbangkan ke Bali dan dijangka pulang ke Sydney jam 6.50 pagi esok.

Pergerakan itu berkata, lesen operasi sementara (TOL) yang di berikan kepada pelombong Australia itu, Lynas Corporation yang mengendalikan Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), akan tamat esok.

Kebimbangan utama terhadap kilang pemprosesan nadir bumi adalah pencemaran kepada alam sekitar dan impak kesihatan sekiranya berlaku kesilapan dalam pengurusan proses bahan buangan.

Ia berikutan kes pada 1980an di kilang Mitsubishi Chemical Asian Rare Earth di Bukit Merah, Perak, yang ditutup lebih dua dekad lalu, dikatakan menjadi punca kes leukaemia akibat pendedahan bahan radioaktif sehingga menyebabkan kematian.

"Model 'neoliberal' yang dibangunkan memusnahkan alam sekitar, membuatkan pencinta alam sekitar menentang syarikat besar dan polis serta kerajaan di seluruh dunia," kata Lowrey dalam satu kenyataan berikutan larangannya memasuki Malaysia.

Dia turut mempersoalkan 15 rakyat Malaysia yang ditahan bersamanya pada Jun ekoran protes yang dilakukan mereka dan akan menghadapi perbicaraan di Kuantan, sedangkan dirinya dibebaskan.

"Pendakwaan terhadap mereka perlu digugurkan.

"Saya dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan, kenapa mereka dibicarakan yang mana jika disabit kesalahan bakal menghadapi hukuman penjara?" soalnya.

Lowrey berkata ketika dibebaskan, dia tidak dimaklumkan larangan atasnya memasuki Malaysia.

Menurut peguam Lowrey, Farhana Halim, aktivis itu mendarat di KLIA jam 7.55 malam semalam dan dihantar menaiki pesawat ke Bali jam 10.25 pagi.

Peguam itu berkata ketika ditahan selama 14 jam, Lowrey tidak diberikan makanan sebaliknya hanya diberikan air pada jam 7 pagi tadi.

"Mereka merampas beg, dan di sana tiada baju panas, sedangkan dia diletakkan dalam bilik pemindahan yang begitu sejuk," katanya.

Setiausaha Himpunan Hijau, Seet Ping berkata, bahan buangan bertoksik radioaktif diletakkan dalam kolam terbuka kilang berkenaan, berhampiran kawasan paya dan terdedah kepada cuaca monsun yang ekstrem.

"Ribuan rakyat Malaysia membantah Lynas sejak tiga tahun lepas dan kami mengumpul 1.2 juta tandatangan dalam masa 36 hari melalui petisyen yang menggesa Lynas segera ditutup.

"Kami mahu Lynas keluar Malaysia," kata Seet.

Kebimbangan terhadap bahan buangan radioaktif Lynas bermula pada 2011 selepas timbul kekhuatiran kilang itu akan memberikan kesan kepada 700,000 penduduk setempat yang tinggal di sekitar radius 30km.

Menurut laporan awal, kilang berkenaan menghasilkan bi produk thorium (TH), iaitu bahan elemen radioaktif yang menjadi punca kanser dan mudah dipindahkan melalui angin dan air.

Kilang milik Australia itu memperolehi TOL meskipun tidak mendedahkan kemudahan simpanan bahan buangannya, menyebabkan kemarahan kumpulan pencinta alam kepada Putrajaya. – 1 September, 2014.