Impian Pierre Andre jadi bapa tak kesampaian

Impian Pierre Andre jadi bapa tak kesampaian

16 Jan – Impian pelakon dan pengarah popular, Pierre Andre untuk bergelar bapa tidak kesampaian apabila isterinya, Siti Nur Hidayah Hashim terpaksa menggugurkan kandungannya berusia 13 minggu selepas mendapat nasihat daripada doktor pakar baru-baru ini.

Menurut Pierre, doktor telah mengesan masalah kritikal pada janin yang dikandung isterinya ketika melakukan pemeriksaan x-ray.

"Doktor terpaksa menggugurkan kandungan isteri saya yang berusia 13 minggu kerana terdapat masalah pada janin. Jujurnya kami memang sedih, tetapi di usia yang masih muda ini, kami percaya dengan rezeki," katanya kepada sebuah portal hiburan.

Pengarah filem "Jangan Tegur" ini bagaimanapun bersyukur apabila proses pengguguran yang dibuat ke atas isterinya tidak berlaku sebarang komplikasi dan isterinya kini semakin sihat.

Pierre dan isterinya selamat diijabkabulkan pada 21 Jun tahun lalu dalam satu majlis yang dibuat secara sederhana.