Anwar: Najib tidak pernah tandatangan perjanjian sebelum pilihan raya

Anwar: Najib tidak pernah tandatangan perjanjian sebelum pilihan raya

OLEH CLARA CHOOI
PENOLONG PENGARANG BERITA

PETALING JAYA, 27 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hari ini Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menandatangani perjanjian damai yang dibroker oleh bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla sebelum 2013 dan hanya menawarkan perjanjian verbal untuk berlawan secara adil dan menghormati keputusan pilihan raya.

Beliau mengatakan tidak sepertinya, perdana menteri tidak mempunyai “keberanian” untuk menandatangani perjanjian yang secara fizikalnya diadakan sebelum penamaan calon pada 20 April.

“Najib mengatakan beliau bersetuju (dengan perjanjian) akan tetapi beliau tidak menandatanganinya kerana saya tahu beliau tidak bermaksud untuk melakukan perjanjian itu,” kata Anwar (gambar) dalam satu sidang akhbar di sini.

“Beliau bersetuju, beliau mendakwa dirinya seorang yang mulia tetapi tidak mempunyai keberanian untuk menandatangani perjanjian itu.”

Perjanjian tersebut didedahkan kali pertama pada Sabtu lepas oleh Wall Street Journal (WSJ) yang melaporkan Jusuf menuduh Anwar telah melanggar perjanjian pra-pilihan raya tersebut.

Akhbar antarabangsa WSJ mengeluarkan wawancara dengan ketiga-tiga pihak mengesahkan kewujudan perjanjian damai itu, serta memetik Jusuf mendakwa telah menelefon Anwar sehari selepas pilihan raya 5 Mei lalu dan menggesa ketua pembangkang menghormati komitmen dan “melihat realiti”.

Walau bagaimanapun, Anwar mempertahankan tindakannya membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu, sebaliknya menuduh Barisan Nasional (BN) melanggar beberapa syarat semasa perjanjian damai yang dibuat pada April lalu.

Najib pada Sabtu lalu juga mengkritik Ketua Pembangkang tersebut sebagai seorang yang tidak berprinsip kerana mungkir janjinya menghormati sebarang bentuk keputusan pilihan raya, sebaik Jusuf turut membuat tuduhan sama.

“Ada pemimpin pembangkang telah berjanji dan telah menandatangani perjanjian untuk terima keputusan pilihan raya tetapi apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepadanya, dia telah menolak sesuatu yang telah dijanjikan,” kata perdana menteri penggal kedua tersebut yang merujuk kepada Anwar semasa menyampaikan ucapan di Festival Belia di Putrajaya.

“Itu bukan cara kita, kita mesti ada prinsip dan ikut peraturan,” tambahnya lagi.

Menurut laporan WSJ lagi, perjanjian tersebut menghalang kedua-dua pihak daripada melakukan serangan peribadi semasa kempen dan menerima sebarang keputusan pilihan raya — telah dimerterai pada bulan April.

Kedua-dua musuh tersebut, bagaimanapun telah menolak klausa dalam perjanjian yang menawarkan pihak kalah peranan dalam “Kerajaan perdamaian”, tulis WSJ.

Penasihat Najib dilaporkan mengesahkan perjanjian itu, memberitahu WSJ bahawa Anwar telah meminta bantuan Jusuf untuk mendapatkan persetujuan bersama bagi menerima sebarang keputusan pilihan raya dengan aman tidak kira dengan apa cara sekalipun meskipun sekiranya memenangi dengan majoriti tipis.

“Perdana Menteri mengulangi secara peribadi kepada Jusuf Kalla dan di khalayak ramai sebelum pilihan raya BN akan menghormati kehendak rakyat dan menerima keputusan pilihan raya, walaupun pembangkang menang,” akhbar tersebut memetik kata pembantu Najib.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan BN kembali berkuasa di Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) memenangi undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya.

Salah satu pertikaian yang menjadi alasan buat PR adalah undi popular dimana BN hanya memperoleh kurang 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undi manakala PR mendapat majoriti sebanyak 51 peratus.

BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya 2008 lalu.

Pembangkang PR selepas pilihan raya telah mengadakan bantahan terhadap keputusan pilihan raya 5 Mei lalu dalam siri dan perhimpunan #Black505 ke seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Pahang, Perak, Melaka dan Terengganu, serta mendakwa pemerintah BN memenangi pilihan raya dengan penipuan.

PR dijangka memfailkan petisyen pilihan raya untuk membantah keputusan pilihan raya lebih 25 kerusi, langkah tersebut perlu dilakukan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya yang diwartakan pada 22 Mei lalu.