Azwan Ali & Sharnaaz Ahmad dipanggil Karyawan?

Azwan Ali & Sharnaaz Ahmad dipanggil Karyawan?

27 Ogos – Kemelut yang melanda selebriti kontroversi Azwan Ali dan aktor Sharnaaz Ahmad baru-baru ini telah mendapat perhatian pihak Karyawan yang mengharapkan ianya dapat diselesaikan oleh kedua-dua belah pihak secepat mungkin.

Datuk Freddie Fernandez selaku Presiden Karyawan menegaskan golongan bergelar selebriti khususnya perlu bijak dalam melihat suasana sebelum berselfie kerana mereka sering menjadi perhatian umum.

"Untuk aktiviti ringan dan hiburan, bolehlah nak selfie," ujarnya dengan nada tegas berhubung isu ini seperti yang dipetik dari laporan Sinar Harian.

Dalam pada itu, Freddie turut menyokong apa yang diperkatakan oleh hero drama "Bukan Kerana Aku Tak Cinta" itu dan berharap Azwan lebih sensitif selepas ini.

"Kita haruslah menghormati suasana pilu di hari perkabungan tersebut walau dengan macam mana riak muka sekalipun, ia tetap tidak sesuai.

"Kalau mereka masih meneruskan perang ini, kami akan memanggil dan cuba selesaikannya," katanya yang berharap ianya akan berakhir di laman Twitter masing-masing sahaja.

Terdahulu, foto selfie Azwan di saat rakyat Malaysia sedang berkabung menyambut kepulangan jenazah mangsa pesawat MH17 mendapat perhatian Sharnaaz yang turut menyelar tindakannya itu.

Sementara itu, pihak Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) enggan melibatkan diri dalam perkara remeh-temeh ini dan tidak berminat untuk mencampuri masalah peribadi artis.