Bekas teman lelaki cari Zara Zya

Bekas teman lelaki cari Zara Zya

18 Jun – Aktres yang merangkul gelaran Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013) baru-baru ini memberitahu ada bekas teman lelaki mula mencari dirinya untuk menjalinkan hubungan percintaan kembali.

Namun, pelakon berbakat besar ini terpaksa menolak tawaran jejaka itu secara baik kerana ingin memberikan tumpuan kepada karier seni yang semakin berkembang.

"Ada bekas kawan lelaki yang pernah menolak saya dulu, akhirnya muncul kembali dan mahu menjalin hubungan semula tetapi saya menolak dengan baik kerana fokus sekarang pada karier.

"Saya akui hingga kini masih solo dan tiada sesiapa yang bertakhta di hati. Bukan bersikap terlalu memilih, cuma sekarang karier pun nampaknya semakin stabil dan segala urusan jodoh biarlah Tuhan saja tentukan," ujarnya kepada sebuah media hiburan tempatan.

Selain itu, Zara turut mengulas mengenai kriteria lelaki idamannya walaupun masih belum terfikir untuk berumah tangga di mana dia inginkan seorang lelaki yang penyayang, menerima diri seadanya serta paling penting menghormati orang tua.

Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini berkata dia mahu menolak tepi memikirkan tentang lelaki dan ingin mengembangkan kerjayanya sebagai seorang pelakon dengan memilih watak yang sesuai untuk dilakonkan kerana jangkaan peminat terhadap kemampuannya semakin tinggi.

Dalam perkembangan terkini mengenai kerjaya seninya, Zara baru sahaja selesai menjalani rakaman program "Ketuk-Ketuk Ramadan" di Rawang bersama Sheila Rusly.

Sementara itu, pelakon drama popular "Love You Mr. Arrogant" ini mula berjinak-jinak mengusahakan perniagaan tudung secara 'online' di Internet yang menampilkan koleksi rekaannya sendiri.